Pusat Jagaan Anak Yatim Rohaniah perlu dibantu
PASIR PUTEH - Pusat Jagaan Anak Yatim Rohaniah di Gong Kulim, di sini memerlukan sokongan berterusan daripada orang ramai untuk terus memastikannya bertahan bagi membela golongan anak yatim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Hassan Wan Ibrahim berkata, pusat tersebut kini menampung 120 anak yatim berusia dari 3 hingga 17 tahun.
"Sama-sama kita bantu pusat jagaan anak yatim ini, bukan sahaja dari segi material kerana sokongan moral juga perlu bagi memastikan pusat ini terus bertahan," katanya pada Majlis Jamuan Teh Sempena Penyerahan Bantuan Kepada Anak Yatim anjuran Pertubuhan Anak Yatim Miskin Kelantan dan Gotong-Royong Memasak Bubur Asyura di pusat berkenaan semalam.
Majlis yang dirasmikan ADUN Gaal, Mohd Rodzi Jaafar itu juga sebagai usaha memasyarakatkan pusat jagaan tersebut.
Wan Hassan berkata, pusat jagaan itu turut menggerakkan kegiatan ekonominya sendiri untuk terus teguh.
"Mungkin ada ruang untuk kita bekerjasama meningkatkan ekonomi khususnya dalam membangunkan industri kecil dan sederhana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!