Best FM tawar hadiah RM20,000

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU – Stesen Radio Swasta, Best FM menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 dalam peraduan Teka Lagu Berduit dan Melodi Maya sepanjang bulan September dan Oktober ini.

Pendengar boleh menyertai Teka Lagu Berduit bermula 9 September hingga 22 September dan Melodi Maya dari 9 September hingga 13 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Best FM, Yusry Abu Samah berkata, bagi Teka Lagu Berduit, pendengar hanya perlu mendengar klu yang akan disiarkan ketika lagu sedang ke udara dan menjadi pemanggil terpantas di talian 07 3331041 apabila isyarat memanggil dikeudarakan.

Menurutnya, jika tajuk lagu dan nama artis yang diberikan tidak tepat, maka wang terkumpul akan digandakan ke peraduan seterusnya.

"Pendengar yang handal dan tahu lagu-lagu era 90-an, 2000-an dan terkini pula berpeluang untuk menyertai peraduan Melodi Maya.

"Penyampai radio selebriti, Mya Ruslee akan humming melodi lagu dan pendengar perlu meneka lagu tersebut.

"Mereka juga boleh menonton video humming itu di Instagram Bestfm Malaysia sebagai klu untuk jawapan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yusry berkata, selain Teka Lagu Berduit dan Melodi Maya, pendengar juga berpeluang memenangi baucar tunai RM50 dalam Teka Gelak Artis bermula 9 September hingga 28 November depan iaitu selama 12 minggu.

Artikel Berkaitan:

"Pendengar hanya perlu meneka gelak artis yang disiarkan dan menghubungi penyampai bertugas dengan memberikan jawapan yang betul.

"Ini peraduan yang mudah untuk pendengar memenangi hadiah, dalam erti kata lain ‘dengar dan jawab'," katanya.

Beliau berkata, peraduan diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua peminat serta pendengar di seluruh Malaysia yang selama ini menyokong dan meletakkan Radio Best FM sebagai radio nombor satu tertinggi dari segi jumlah masa mendengar paling lama dalam kalangan semua radio di Semenanjung Malaysia (TSL- Time Spent Listening) 2019.

"Peraduan yang berlangsung selama 14 minggu ini terbuka kepada semua pendengar Radio Best FM.

"Mereka bukan sahaja berpeluang memenangi wang tunai, malah dapat bermesra dengan penyampai ketika ke udara.

"Pendengar hanya perlu mendengar Radio Best FM setiap hari bermula dari segmen Best Pagi sehingga Best Nite," katanya.

Ujarnya lagi, sebelum menyertai apa-apa kuiz atau peraduan, pendengar perlu membaca sepenuhnya maklumat dan syarat peraduan yang disiarkan di laman sesawang best.my atau menerusi laman Facebook dan Instagram Bestfm Malaysia.

"Kepada peminat-peminat Sufian Suhaimi dan Wani Hasrita, mereka boleh menemui penyanyi ini di Pentas Best FM Mydin Mutiara Rini pada 5 Oktober depan, selain artis 90-an bersama penyampai-penyampai Best FM yang turut memeriahkan pentas Best FM kali ini.

"Menyedari trending pasaran terkini, Radio Best FM mengambil inisiatif meraih perhatian golongan muda dengan menyuntik sedikit elemen segar dan catchy dengan peraduan yang mudah bagi membuka peluang kepada pendengar supaya dapat lebih dekat dengan Radio Best FM.

"Best FM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja rasmi kami SB Super Beauty by Cikgu Jefferi dan Desaru Coast Malaysia dalam peraduan Teka dan Menang Bersama Best FM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!