Merdeka sebenar tanpa dadah

Gambar hiasan (Gambar kecil: Adila)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Adila)
A
A
A

NEGARA kita Malaysia yang tercinta ini telah menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-62 pada tanggal 31 Ogos 2019 yang lalu. Sambutan bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih diharapkan benar-benar dihayati oleh seluruh rakyat di negara ini seiring dengan kemeriahan sambutan yang diadakan.

Tema yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada 24 Julai lalu membawa maksud tersendiri iaitu membersihkan diri daripada segala ‘kekotoran’ terutama rasuah, memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

Walaupun kemerdekaan negara diraikan, namun Malaysia masih lagi terancam dengan musuh nombor satu negara iaitu najis dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan pernah menyuarakan kebimbangannya bahawa tidak mustahil Kelantan akan menjadi ‘gedung’ dadah jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak ditangani segera. Katanya, masalah dadah di negeri itu dianggap serius berikutan rekod Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati seramai 12,703 individu dikesan menjadi ‘hamba’ dadah dalam tempoh lima tahun bermula 2014 hingga tahun lalu.

“Bagi saya, masalah ini cukup serius dan keadaan ini berlaku kerana bekalan dadah cukup mudah didapati berikutan negeri ini berhampiran sempadan. Sehinggakan saya dengar orang cakap, pelajar sekolah kalau diseluk dalam poket mereka akan jumpa pil kuda. Ini menunjukkan betapa mudahnya mendapatkan bekalan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Program Imarah Masjid, di Masjid Kampung Kubang Batang, Pasir Mas, April lalu.

Penulis sendiri pernah berdepan dengan pengalaman menyayat hati apabila mengikuti operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun daripada ibunya yang menagih pil kuda. Ibunya sanggup ‘menjual diri’ bagi memenuhi ketagihan itu manakala anak-anaknya turut dibawa bersama sehingga boleh mengancam keselamatan kanak-kanak tersebut.

Penulis yang setiap tahun mengikuti perkembangan kedua-dua kanak-kanak itu berasa bersyukur apabila mengetahui masa depan mereka terjamin apabila diletakkan di bawah penjagaan JKM.

Ketika negara sibuk melakukan persiapan menjelang sambutan Kemerdekaan ke-62, lima lelaki berusia antara 37 hingga 62 tahun daripada satu geng sindiket pengedaran dadah dan senjata api berjaya ditahan polis pada 26 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sindiket tersebut aktif menjalankan perniagaan jual beli dadah untuk pasaran di selatan negara. Sambil-sambil jual dadah, mereka juga menjual senjata api hanya dengan harga RM10,000 sepucuk.Beliau berkata, kumpulan pengedaran dadah sebegini mengaut keuntungan di atas kesengsaraan orang lain dengan memberi laluan untuk mendapatkan bekalan dadah kepada penagih.

“Mereka bukan sahaja mendapatkan duit mudah dengan menjual barangan haram itu kepada orang lain, malah memperoleh untung secara berterusan atas perniagaan itu kerana dadah membawa kesan ketagihan. “Ada juga kes pengedar dilengkapi dengan pemilikan senjata api bertujuan melindungi diri daripada ancaman musuh kerana mereka menjalankan kegiatan jenayah selain melakukan urusan jual beli senjata api itu sendiri,” ujarnya.

Katanya lagi, rampasan dadah yang membabitkan heroin, ganja, pil kuda, syabu, daun ketum, air ketum, ubat batuk dan eramin 5 bagi tempoh Januari hingga Jun 2018 mencatatkan nilai RM1.5 juta dan meningkat sehingga 1,800 peratus iaitu RM29 juta dalam tempoh sama tahun ini.

“Pada masa sama, polis juga sangat mengharapkan kerjasama daripada rakyat Malaysia untuk berganding bahu dengan pihak keselamatan di seluruh negara dalam memerangi musuh nombor satu negara ini supaya kita dapat meraikan kemerdekaan yang sebenarnya tanpa dadah,” katanya.Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukur sudah menjejaki angkasa pada tahun 2007, sekarang Malaysia sudah nak masuk era ‘kereta terbang’ 2020 tetapi negara masih lagi ‘berperang’ dengan dadah. Belum lagi disentuh tentang isu perkauman dan boikot sana-sini, pembelajaran jawi, gantung bendera terbalik dan sebagainya.

Sampai bila kita perlu ternanti-nanti erti merdeka yang sebenar-benarnya merdeka!

* Adila Sharinni Wahid ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Timur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!