Mahir guna internet tidak semestinya bijak
SABTU lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluahkan kerisauan terhadap golongan muda yang memperuntukkan masa sehingga lapan jam sehari bagi melayari internet.
Dapatan itu berdasarkan kajian pengguna internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mendapati purata tempoh melayari internet adalah selama 6.6 jam sehari.
Bermakna, dalam satu hari tinggal 17.4 jam sahaja untuk seseorang gunakan buat perkara lain termasuk meluangkan masa bersama keluarga, beriadah, bersosial, berehat dan tidur.
Mungkin ada yang masih ingat sekitar tahun 1990an ketika internet baru diperluaskan penggunaannya kepada rakyat Malaysia. Ketika itu kemudahan internet dipasang pada telefon di rumah secara dial up.
Ada kala pengguna terpaksa menunggu beberapa minit untuk mengakses internet. Waktu itu tidak semua rumah ada internet.
Bagi remaja yang mempunyai pengetahuan menggunakan internet, mereka dianggap sebagai golongan bijak dalam kalangan rakan-rakan.
Mana yang tak tahu guna internet pula dikatakan ketinggalan zaman. Maka, tidak hairanlah ramai ibu bapa memberi penekanan kepada anak-anak mereka mendalami ilmu internet supaya tidak dilabelkan sebagai kolot pada masa akan datang.
Itu pengalaman 20 tahun dulu. Sekarang lebih mudah dengan adanya internet jalur lebar. Bukan saja semakin banyak rumah dipasang akses internet tanpa had, malah setiap orang boleh akses internet menerusi telefon bimbit.
Budak-budak seawal usia dua tahun pun sekarang sudah pandai buka internet. Ia menunjukkan rakyat Malaysia kini ramai yang bijak.Tapi masalah lain pula timbul apabila ramai yang jadi ketagih terhadap media sosial.
Mereka tidak lagi hiraukan aktiviti sosial tetapi lebih selesa menghadap komputer melayari internet. Akibatnya, berlaku keresahan, kemurungan, produktiviti berkurangan dan pemencilan sosial.
Paling merisaukan, semakin ramai yang mahir menggunakan internet, semakin ramai pula rakyat Malaysia yang ‘kurang bijak’ apabila menjadikan kemudahan itu untuk menyebar berita palsu, memberi komen negatif, maki hamun, menghasut dan mencarut.
Hakikatnya, mereka yang mahir dalam internet tidak lagi dianggap bijak sepertimana 20 tahun lalu, tetapi yang bijak sekarang ialah mereka yang menggunakan internet ke arah kebaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!