Bagaimana mahu satukan penyokong Malaysia dan Indonesia?
MERAK Jalanan teringat zaman budak-budak dulu, seronok dapat main bola sepak dengan kawan-kawan.
Setiap petang, di kawasan lapang sedikit berumput dekat rumah, sudah cukup untuk menghabiskan masa bergembira dengan kawan-kawan.
Yang seronoknya, bukan kawan-kawan Melayu saja tapi ada antara mereka berketurunan Cina dan India.
Kami akan dibahagi dua team. Biasanya yang datang dalam 10 hingga 15 orang, cukup untuk buat permainan 5 atau 7 sebelah.
Merak Jalanan tidaklah hebat main bola, cuma suka-suka saja. Sebab itu, team Merak Jalanan selalunya kalah. Walaupun begitu, kami masing-masing tak pernah sakit hati, jauh sekali bergaduh.
Esok kalau cuaca baik, kami akan main lagi, misi untuk menang pada perlawanan esoknya. Alangkah seronoknya zaman budak-budak dulu.
Tapi bila insiden kecoh ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 antara Malaysia dan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta baru-baru ini, Merak Jalanan hanya mampu geleng kepala. Sedih! Sebab Merak Jalanan tahu hubungan Malaysia dan Indonesia sangat rapat ibarat adik beradik.
Apa pun, kita jangan salahkan negara Indonesia kerana yang terlibat cuma segelintir penyokong yang tidak menggambarkan pun keseluruhan rakyat Indonesia.
Malah, menteri di negara tersebut pun sudah memohon maaf. Bagi Merak Jalanan, sikap rendah diri pemerintah Indonesia itu sudah cukup meredakan api kemarahan.
Cuma Merak Jalanan cadangkan supaya usaha dilakukan bagi menyatukan semula penyokong Malaysia dan Indonesia.
Mungkin boleh tubuhkan satu bola sepak yang didalamnya dicampurkan pemain Malaysia dan Indonesia. Kemudian, pasukan tersebut berlawan dengan pasukan atau kelab luar negara dalam perlawanan persahabatan.
Mungkin dengan cara itu kita dapat lihat penyokong Malaysia dan Indonesia boleh duduk bersama-sama memberi sorakan padu kepada pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!