Pemandu teksi didenda RM5,000 miliki karkas lembu

Abdul Malik (tengah) ketika keluar dari kamar perbicaraan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Abdul Malik (tengah) ketika keluar dari kamar perbicaraan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu teksi didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki karkas lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan berlesen Mei lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Abdul Malik Mohamad, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Dalam pendakwaan sama, Nurasidah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Malik didakwa memiliki karkas lembu seberat 245 kilogram yang tidak disembelih di rumah penyembelihan berlesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.45 pagi di kawasan ladang kelapa sawit, Batu 20, Jalan Sungai Tiram, Kampung Pasir, Ulu Tiram pada 5 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, OKS didakwa telah melakukan kesalahan di bawah sub kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (kawalan penyembelihan) 2009.

Abdul Malik juga dituduh mengikut Akta Binatang 1953 (pindaan) 2013 Akta A1452 dan boleh dihukum di bawah kaedah 17 (pindaan) 2018 kaedah yang sama.

Kesalahan itu boleh memperuntukkan hukuman denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Veterinar, Mohd Faiz Ajis manakala OKS tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Faiz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas OKS kerana pemilikan karkas yang tidak disembelih di rumah penyembelihan berlesen boleh membawa penyakit kepada haiwan ternakan dan manusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!