Raptai mengarak panji-panji Yang Di-Pertuan Agong berjalan lancar
PUTRAJAYA - Raptai penuh Perarakan Panji-Panji sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini hari ini berjalan lancar.
Seramai 22 pegawai dan 550 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Ahmad Muzaimi Mohd Ali mengambil bahagian dalam raptai itu sebelum acara sebenar yang akan berlangsung Khamis ini.
Turut hadir menyaksikan raptai penuh hari ini ialah Panglima 12 Briged Infantri Malaysia yang juga ketua penyelaras istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong, Brigedier Jeneral Marzuki Mokhtar.
Ditemui selepas raptai itu, Marzuki berkata semua pegawai dan anggota yang terlibat menunjukkan semangat masing-masing.
"Kita bersedia mempamerkan mutu perbarisan yang terbaik pada Khamis ini serta menunjukkan ketaatsetiaan ATM kepada Raja dan negara," katanya.
Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong akan diarak Khamis ini iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.
"Lima Panji-Panji ini adalah anugerah Yang di-Pertuan Agong berserta dengan taat setia. Ia adalah pengurniaan yang disanjung tinggi oleh setiap anggota Rejimen Askar Melayu Diraja dan sentiasa menjadi dorongan dalam perjuangan mereka mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara," katanya.
Panji-Panji adalah satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah bagi ATM terhadap Raja dan negara.
Marzuki berkata istiadat bersejarah itu akan turut disaksikan rakyat dan duta luar negara dan ia memperlihatkan ATM sebagai pasukan yang kredibel, taat dan sedia berjuang untuk Raja dan tanah air.
Antara acara istiadat lain pada Khamis ini ialah tembakan kehormatan 21 das yang akan disempurnakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja serta formasi terbang lintas hormat lima buah pesawat helikopter yang membawa Jalur Gemilang dari ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Antara pimpinan yang dijangka menghadiri istiadat perarakan Panji-Panji itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!