Rokok, arak bernilai lebih RM3.6 juta dirampas
PETALING JAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok dan minuman keras bernilai lebih RM3.6 juta yang menggunakan kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini Jumaat lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, serbuan itu dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Unit 1 Kastam Zon Tengah kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Menurutnya, hasil imbasan melalui mesin pengimbas kontena mendapati barangan yang dibawa masuk itu tidak sama dengan dagangan yang diikrarkan.
"Pemeriksaan menjumpai 22,500 karton rokok jenama U2 bernilai RM360,000 dan 1,224 karton minuman keras berjenama Heineken bernilai RM70,500 yang belum lulus kastam dengan jumlah keseluruhan cukai berjumlah RM3,235,206.
"Seorang lelaki berusia 36 tahun merupakan pemandu kontena terbabit ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam di sini hari ini.
Zulkurnain berkata, siasatan mendapati sindiket dipercayai membawa masuk kontena dari negara jiran dengan membuat pengikraran palsu bagi mengaburi barangan dagangan terbabit yang tidak mempunyai permit import sah.
Katanya, suspek kini direman tujuh hari bagi pihaknya mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Kita menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau pejabat kastam terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!