Trump pertimbang guna teknologi pantau pesakit mental
NEW YORK - Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan cadangan untuk memantau golongan pesakit mental bagi mencari tanda-tanda keganasan yang bakal dilakukan dalam usaha menangani peningkatan ancaman insiden tembakan rambang secara besar-besaran, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik akhbar The Washington Post.
Pelan itu dilaporkan membabitkan penubuhan sebuah agensi penyelidikan untuk mencetuskan pendekatan baharu bagi masalah kesihatan negara, termasuk beberapa keganasan membabitkan senjata api baru-baru ini yang membawa maut di Dayton, Ohio dan El Paso, Texas.
Cadangan itu dilaporkan telah diilhamkan Bob Wright, bekas pengerusi rangkaian televisyen NBC, dan dijangka membabitkan penggunaan teknologi seperti telefon serta jam pintar untuk memantau sama ada pesakit mental akan bertindak ganas.
Pejabat Rumah Putih bagi hal ehwal media belum membalas permintaan Anadolu untuk mendapatkan penjelasan berkaitan ciri-ciri dan setakat mana pelan itu, yang buat pertama kalinya dilaporkan The Washington Post pada Isnin.
Trump dan anggota parlimen Parti Republikan telah berulang kali mengaitkan insiden tembakan rambang besar-besaran dengan isu kesihatan mental para pelaku, yang bertentangan dengan gesaan kebanyakan anggota parlimen Parti Demokrat agar sekatan senjata api dan pemeriksaan latar belakang dilakukan.
Negara itu telah menyaksikan kebangkitan insiden keganasan senjata api sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Bulan lepas, seorang lelaki bersenjata telah membunuh tujuh orang dan mencederakan 21 yang lain selepas melanggar lampu trafik berhampiran Odessa, Texas.
Insiden tembakan rambang secara besar-besaran di El Paso dan Dayton pula meragut 31 nyawa. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!