Lelaki maut terperangkap dalam kebakaran dua kilang

 Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran melibatkan dua kilang di Jalan Industri, Kampung Baru Sungai Buloh semalam. - Foto Ihsan JBPM Sungai Buloh
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran melibatkan dua kilang di Jalan Industri, Kampung Baru Sungai Buloh semalam. - Foto Ihsan JBPM Sungai Buloh
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang lelaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua kilang di Jalan Industri, Kampung Baru Sungai Buloh di sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang dan sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Menurutnya, setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati api marak membakar dua lot kilang jenis teres setingkat.

"Hasil tindakan pantas, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak pada jam 6.46 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafisham berkata, ketika saki baki kebakaran dipadamkan pada jam 2.22 pagi tadi, pemilik kilang terbabit memaklumkan bahawa seorang pekerjanya tidak dapat dikesan.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar unit anjing pengesan (K9) ke lokasi bagi mengesan mangsa di dalam sisa kebakaran.

"Anjing pengesan berjaya mengesan tulang manusia terbakar pada jam 6.20 pagi. Selain itu, pasukan forensik JBPM turut berada di lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya.

Hafisham berkata, tulang mangsa yang rentung itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!