Jabatan Penjara siasat video banduan
SHAH ALAM - Sejak malam tadi, tular rakaman video seorang lelaki yang memberitahu dia seorang banduan yang menunggu tarikh hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah kerana membunuh pada 2002.
Rakaman video berdurasi 4 minit 21 saat itu dikatakan dirakam di dalam sebuah penjara di Kelantan pada 2 September lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu menjelaskan, dia ditangkap ketika berusia 19 tahun kerana terlibat dengan kejadian bunuh.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kes yang dimaksudkan oleh lelaki berkenaan.
Melalui rakaman itu juga, lelaki itu berkali-kali mendakwa bahawa dia tidak melakukan pembunuhan itu dan hanya berada di lokasi tersebut.
“Dalam kes ini saya tidak bunuh. Sumpah! Tetapi saya tengah tunggu hukuman gantung. Yang mati seorang Cina. Sekarang tanggung empat orang yang nak kena gantung. Tak tahu bila. Jadi saya sekarang dapat satu peluang, saya bagi tahu dekat semua orang.
“Waktu kejadian umur saya 9 tahun. Sekarang umur saya 37 tahun. 2002 saya kena tangkap. Waktu umur saya 19 tahun apa yang saya tahu, mana yang baik, mana yang tak baik. Waktu kejadian memang saya ada, tetapi bukan saya yang membunuh,” katanya berdasarkan rakaman itu.
Lelaki itu turut mahu pengguna media sosial supaya menularkan rakaman tersebut supaya kesnya mendapat semakan semula mahkamah.
“Sekarang minta tolong rakyat Malaysia. Orang awam sahaja yang boleh membantu saya. Bila tengok video ini, tak perlu like, tak perlu komen. Tolong share (kongsi) sampai semua orang tahu. Baru boleh saya dapat ulang kaji (semakan semula hukuman). Sebab memang saya tidak membunuh. Kalau saya kena gantung, saya memang tidak puas hati,” katanya.
Lelaki berkenaan turut menunjukkan bukti bahawa rakaman tersebut dibuat di dalam penjara.
Jabatan Penjara Malaysia ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sedang menyiasat mengenai rakaman video berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!