Angkasa sedia bangunkan ekonomi pelancongan

Gunung Jerai memiliki nilai warisan geologi sangat tinggi dan batuannya telah mencecah usia 550 juta tahun. FOTO: JERAI GEOPARK Gambar kecil: Abdul Fattah
Gunung Jerai memiliki nilai warisan geologi sangat tinggi dan batuannya telah mencecah usia 550 juta tahun. FOTO: JERAI GEOPARK Gambar kecil: Abdul Fattah
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyambut baik pelawaan untuk bekerjasama membangunkan sektor pelancongan Jerai Geopark di Yan dekat sini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama tersebut melibatkan projek yang memberi impak tinggi kepada ekonomi yang dilaksanakan secara bersama pihaknya dengan agensi-agensi kerajaan lain.

Menurutnya, sebanyak 20 koperasi di Kedah dikenal pasti untuk mengambil bahagian dalam projek berimpak tinggi itu.

"Terdapat 25 tempat yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai tempat pelancongan di Yan dan Kuala Muda.

"Kesan daripada usaha ini, ia dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat selain keuntungan kepada koperasi itu sendiri.

"Apabila dibangunkan kawasan pelancongan itu, sudah tentu akan turut memajukan kawasan tersebut secara tidak langsung," katanya pada sidang media di Bangunan Angkasa Kedah di Alor Setar semalam.

Jerai Geopark FOTO: JERAI GEOPARK
Jerai Geopark FOTO: JERAI GEOPARK

Menurutnya, Jerai Geopark berkeluasan 800 kilometer persegi merangkumi dua daerah iaitu Yan dan Kuala Muda, termasuk empat buah pulau yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah turut berharap koperasi memainkan peranan penting kerana kebaikan dan keuntungan akan kembali semula kepada ahli-ahli koperasi melalui dividen termasuk faedah yang bukan bersifat kewangan.

Jerai Geopark secara saintifiknya terletak dalam lingkungan geodiversiti Formasi Jerai, Formasi Mahang dan Granit Jerai.

Formasi Jerai yang berusia 550 juta tahun berada pada kedudukan tertinggi iaitu 1,217 meter dari aras laut, menjadikan Gunung Jerai sangat unik dan memiliki nilai warisan geologi sangat tinggi.

Kawasan tersebut secara rasmi dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan pada November 2018 yang disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di kaki Gunung Jerai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!