Belanjawan 2020: Kerajaan utamakan pertumbuhan ekonomi mampan
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengenal pasti ruang fiskal untuk mengutamakan pertumbuhan ekonomi mampan dan dijangka tidak memperkenalkan langkah pencukaian baharu dalam Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Kita akan mengutamakan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu langkan pengembangan mungkin perlu untuk menyediakan beberapa kontingensi fiskal, susulan persekitaran ekonomi global mencabar sekiranya kemelut perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih tidak dapat diselesaikan.
“Selain itu, untuk meningkatkan keyakinan sektor korporat dan komuniti pelaburan, kita tidak menjangkakan sebarang langkah pencukaian baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Menara Prudential di Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Mengenai Belanjawan 2020, beliau berkata perbincangan dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan input masih dijalankan dan maklumat terperinci akan tersedia semasa pembentangan belanjawan itu pada 11 Oktober ini.
Guan Eng berkata, Malaysia menyokong penerusan pendekatan pelbagai hala untuk mencapai perdagangan bebas dan saksama; pertumbuhan pengeluaran; mengamalkan ekonomi digital; peningkatan pendapatan untuk memperkukuh kuasa beli; serta keberuntungan pekerja dan perniagaan.
Sementara itu, Prudential hari ini meraikan pembukaan ibu pejabat korporatnya di sini, yang akan menempatkan kesemua lima perniagaan syarikat, iaitu Prudential Assurance Malaysia Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Eastspring Investments Bhd, Eastspring Al-Wara’ Investment Bhd dan Prudential Services Asia.
Kehadiran Prudential di wilayah TRX akan memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama perniagaan dan kewangan antarabangsa, termasuk insurans.
Ketua Pengawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia, Gan Leong Hin berkata, pihaknya gembira menjadi firma pertama berpindah ke zon TRX berkelas dunia itu.
“Malaysia merupakan pasaran operasi paling lama bagi Prudential di Asia setelah beroperasi selama lebih 95 tahun, dan pejabat baharu ini merupakan bukti komitmen kami kepada komuniti,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!