Ubah suai Ysuku: Polis beri amaran kepada artis

Azisman (tiga dari kiri) ketika menghadiri majlis penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Perkeso dan PDRM di Flex Pulau Pinang hari ini.
Azisman (tiga dari kiri) ketika menghadiri majlis penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Perkeso dan PDRM di Flex Pulau Pinang hari ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis memberi amaran kepada mana-mana individu termasuk artis supaya menghentikan aktiviti mempromosi kegiatan modifikasi motosikal secara haram dan melanggar undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kebelakangan ini pihaknya mendapati terdapat beberapa artis dan selebriti yang membuat pengubahsuaian motosikal mereka tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan malah mempromosi di dalam laman sosial mereka sehingga menjadi ikutan orang ramai.

Menurutnya, aktiviti tidak sihat itu akan memberi dorongan kepada pengguna motosikal lain terutama remaja untuk mengubah suai kenderaan mereka dan terjebak dalam kegiatan seperti lumba haram dan sebagainya.

"Saya sendiri ada mendengar mengenai kumpulan dan artis yang mempunyai laman sosial sendiri menyiarkan video mengenai modifikasi haram yang dilakukan mereka terutama motosikal daripada jenis Y15ZR yang lebih dikenali sebagai Ysuku.

"Saya beri amaran kepada semua pihak sama ada individu atau artis, hentikan aktiviti mempromosi modifikasi motosikal secara haram terutama daripada jenis Yamaha Y15ZR yang dilihat semakin menjadi-jadi dan jika ingkar mereka berdepan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Flex Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azisman berkata, polis terutama cawangan trafik di seluruh negara sedang memantau aktiviti kumpulan motosikal yang melakukan modifikasi dan lumba haram.

Menurutnya, bagi membanteras kumpulan samseng jalanan pihaknya turut menubuhkan unit khas Skuad 42 yang bertujuan memerangi kumpulan mat rempit.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai dan anggota polis itu akan menyamar sebagai orang awam termasuk menjadi geng mat rempit sebelum mengekori mereka dan mengambil gambar serta video sebagai bukti kegiatan modifikasi serta lumba haram sebelum mendakwa di mahkamah.

"Itu pendekatan polis sekarang ini dan kami tidak lagi hanya menjalankan operasi secara terang dan terbuka sebaliknya dengan menyamar serta mengumpul maklumat lengkap dan seterusnya tindakan undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!