Bapa dua anak didenda RM2,000 curi kasut
MELAKA TENGAH - Seorang bapa dua anak didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini kerana mencuri lima pasang kasut berjenama, dua tahun lalu.
Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Mohd Sharif, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan di sebuah rumah pangsa di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini pada jam 2.08 pagi, 12 Oktober 2017.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati telah mencuri lima pasang kasut berjenama milik seorang lelaki yang keseluruhannya bernilai RM500.
Bagi kesalahan itu Mohd Firdaus didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon hukuman setimpal terhadapnya sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan dia hanya berniaga secara kecil-kecilan dan perlu menyara dua orang anak selain ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!