Sokong kempen beli barangan Muslim: Mufti Perak
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi dengan mengeluarkan dan membekalkan produk buatan sendiri.
Menurutnya, perkara itu penting kerana umat Islam mengetahui hukum-hakam dan prinsip-prinsip penyediaan sesuatu produk tersebut tanpa menafikan hak dan penglibatan orang bukan Islam dalam berjual-beli dengan syarat mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk.
"Konsep ta'awun atau tolong-menolong merupakan perkara asas dalam agama Islam termasuklah dalam jual beli. Konsep ini mempunyai kebaikan dan falsafah tersendiri dalam membangunkan serta menjaga kepentingan ekonomi umat Islam.
"Kempen Buy Muslim First (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini adalah implementasi daripada konsep ta'awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Harussani berkata, kekuatan sesuatu bangsa dipengaruhi oleh kekuatan ekonomi dan sebagai umat Islam, kekuatan akidah akan mempengaruhi kekuatan ekonomi Islam itu sendiri.
Katanya, seseorang individu mempunyai akidah yang kuat akan memastikan rantaian produk perlu memastikan sesuatu sumber itu halal dan mempunyai kebaikan atau thoyyib.
"Thoyyib merujuk kepada perkara-perkara kebaikan yang ada pada produk tersebut meliputi sumber-sumber bahan mentah dan kaedah-kaedah penyediaan produk tersebut termasuklah pekerja yang bersih serta mempunyai hati yang ikhlas dan jujur.
"Marilah kita merealisasikan perintah ALLAH tersebut supaya kita semua dilimpahi naungan rahmat dan kasih sayang-Nya," katanya.
Menurut Harussani, umat Islam di negara ini perlu bersama-sama menjayakan agenda memperkasakan ekonomi umat Islam dengan berusaha bersungguh-sungguh membeli dan menyokong produk Muslim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!