Tanam padi secara estet ladang mampu atasi kemiskinan: Tun M

Mahathir (dua dari kiri) ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Konvensyen Padi peringkat kebangsaan di Alor Setar hari ini.
Mahathir (dua dari kiri) ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Konvensyen Padi peringkat kebangsaan di Alor Setar hari ini.
A
A
A
ALOR SETAR - Penanaman padi secara estet perladangan yang akan diperkenalkan kerajaan diyakini mampu mengatasi kemiskinan yang membelenggu pesawah sejak sekian lama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kaedah menggabungkan tanah sawah yang diusahakan secara kecil-kecilan kepada estet ladang seperti ladang kelapa sawit dan getah mampu melonjakkan pengeluaran hasil padi, sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah.

Menurutnya, pendekatan baharu itu turut melibatkan penggunaan jentera moden, memaksimumkan guna tanah dengan memperuntukkan sebahagian kawasan untuk tanaman sayur, buahan dan penternakan haiwan.

“Ladang ini akan diurus secara profesional oleh individu terlatih. Kerajaan boleh terus beri subsidi seperti baja percuma, namun tahap kemiskinan tidak akan berubah malah pengeluaran padi berkurang, berbanding diurus secara moden,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Padi peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir berkata, sistem perladangan itu juga dilihat mampu memberi pulangan berterusan sepanjang tahun berbanding pendapatan dua kali setahun dengan memfokus kepada tanaman padi semata-mata.

“Masalah kemiskinan pesawah akan dapat diatasi jika mereka bersedia terima kaedah menggabungkan tanah sawah mereka dan diusahakan sebagai estet ladang. Jika masih usahakan dua atau tiga relung, tak akan mencukupi untuk menyara kehidupan,” katanya.

Menurutnya, idea itu bukan baharu dan pernah dibincangkan bersama Pengerusi Felda, Mohd Bakke Salleh yang berpengalaman luas dalam industri perladangan.

"Beliau mempunyai cara bagaimana mencantumkan tanah-tanah kecil ini agar pengeluaran dapat dioptimumkan. Ini tidak terhad kepada padi sahaja. Kita lihat bagaimana ladang getah milik syarikat besar mengeluarkan hasil lebih tinggi berbanding kebun kecil milik orang kampung,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dr Mahathir berkata, graduan teknologi pertanian juga digalakkan menceburi bidang ini dengan mengutamakan aspek latihan dan pengurusan.

“Graduan ini mahir dan berpengalaman dalam bidang terbabit, saya mohon universiti melatih mereka untuk menjadi pengurus untuk urus tanaman padi, selepas itu barulah boleh tukar pendekatan kita.

"Malulah seumur hidup bergantung pada subsidi, sebaliknya kita boleh bebaskan diri daripada bergantung pada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan tanah sawah juga antara faktor memilih pendekatan baharu susulan terpaksa bersaing dengan sektor perumahan dan pembangunan.

“Jika saiz sawah kecil namun pengeluaran baik, bekalan tidak berkurang. Negara kita tidak begitu, jadi jangan makan nasi banyak sangat lah, tidak baik untuk kesihatan, ini doktor cakap tau,” katanya secara berseloroh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!