Jangan label penunggang Ysuku mat rempit: Ajak Shiro
SHAH ALAM - Pelawak Ajak Shiro menghormati ketegasan pihak polis dalam isu pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran melibatkan motosikal Yamaha 15ZR atau 'Ysuku'.
Bagaimanapun Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 33, berharap pihak berkuasa dan masyarakat tidak terus melabel penunggang motosikal berkenaan sebagai mat rempit.
Menurutnya, mungkin hanya segelintir penunggang motosikal Ysuku melakukan pengubahsuaian untuk perkara negatif.
“Saya percaya rakan artis lain seperti Zizan Razak dan Shuib Sepahtu berkongsi pandangan yang sama dengan saya.
“Saya guna motosikal untuk ke majlis tertentu atau paling tidak kedai runcit, tidak adillah label kami sebagai pelumba haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain memberikan amaran agar penunggang motosikal terutama jenis Yamaha 15ZR atau 'Ysuku' tidak mengubahsuai motosikal tanpa kebenaran kerana menyalahi undang-undang.
Katanya, tindakan sita akan dikenakan terhadap pemilik motosikal yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN Ubah suai Ysuku: Polis beri amaran kepada artis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!