MDP siap sedia bantu operasi padam kebakaran ladang
PONTIAN- Majlis Daerah Pontian (MDP) bersiap sedia daripada aspek logistik dan tenaga kerja sekiranya diarahkan membantu operasi memadamkan kebakaran tanah gambut di ladang milik Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) dan Jabatan Pertanian di Jalan Johor-Pontian.
Yang Dipertuanya, Noor Syazlan Abdul Razak berkata, seramai 20 kakitangan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia membantu operasi pemadaman ladang seluas kira- kira 7.5 hektar yang terbakar sejak 3 September lalu.
Menurutnya, setakat ini MDP hanya memberikan bantuan sebuah jengkaut bersama pemandu jengkaut bagi operasi pemadaman yang melibatkan beberapa agensi dan jabatan antara Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Belum ada arahan lagi untuk MDP terlibat secara langsung membantu operasi pemadaman. Tetapi jika diperlukan kita sedia turun padang.
"Berdasarkan mesyuarat penyelaras tindakan bencana daerah pada Khamis lepas, MDP hanya diminta menyediakan logistik iaitu jengkaut dan pemandunya," katanya di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!