Jual baka kibas dapat hasil lumayan
GUA MUSANG - Bermula dengan seekor kibas berharga RM3,000, seorang lelaki dari Kampung Lepan Jaya di sini kini menjana pendapatan lumayan hasil jualan baka haiwan itu.
Abdul Aziz Abdul Latiff, 30, berkata, dia membeli bebiri Damara itu dari Setiu, Terengganu untuk diternak dua tahun lalu.
Menurutnya, dalam tempoh setahun, dia menjual lebih 15 ekor anak bebiri kacukan Damara dan Dorper pada harga RM800 seekor.
"Saya beli baka dari Asia Timur dan Mesir ini sekadar untuk hobi sahaja. Namun, apabila saya cuba kacuk, ramai yang berminat dengan baka ini dan mahu membelinya.
"Setakat ini saya ada 15 ekor bebiri induk dari spesies Dorper dan telah menjual 30 ekor anak bebiri ini dalam masa dua tahun.
"Harga anak bebiri ini bergantung kepada berat dan untuk setiap kilogram, saya jual pada harga RM28. Anak dijual apabila mencecah berat 25 kilogram ke atas," katanya ketika ditemui di Karnival Jajahan Agro Al Falah, Bertani Satu Ibadah jajahan Gua Musang hari ini.
Program anjuran Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang itu berlangsung di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B di sini selama dua hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!