Biduk lalu kiambang bertaut
SABTU ini, 14 September 2019, satu tinta baharu akan terakam dalam lipatan sejarah politik negara apabila dua parti terbesar orang Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas) akan secara rasmi memeterai satu piagam ta‘awun siyasi (kerjasama politik) atas nama penyatuan ummah demi masa hadapan dan survival agama, bangsa dan negara.
Umumnya penyatuan ini disambut dengan perasaan gembira dan linangan air mata penuh kesyukuran bagi generasi yang pernah menyaksikan ‘perit’nya perjalanan konflik politik dua parti ini sejak merdeka sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Terlalu banyak yang boleh diceritakan dan didendangkan kepada generasi muda hari ini betapa perseteruan UMNO dengan Pas meninggalkan pelbagai parut kenangan yang tidak sedikit merugikan perpaduan ummah dan membawa kepada perpecahan di peringkat atasan sehingga ke akar umbi rakyat.
Siapa tidak kenal UMNO yang pernah memerintah dan mencorak negara selama lebih 60 tahun. Tiada siapa juga yang tidak kenal Pas yang menjadi seteru tradisi kepada UMNO, mentadbir Kelantan sejak sekian lama, memimpin Terengganu dan pernah menawan Kedah.
Pendek kata UMNO dan Pas adalah satu pengenalan kepada identiti tradisi politik orang Melayu di desa dan juga di kota. Ada anak-beranak yang tidak boleh bersembang tentang politik kerana ketegaran fahaman masing-masing. Tapi ini semua cerita dahulu, kini semuanya hampir tenang. Menyapa mesra dan di mana-mana sahaja duduk bersama mengeluh panjang tentang masa hadapan agama, bangsa dan negara yang semakin kelam.
Kerjasama
Namun di sebalik sejarah keperitan hubungan dua parti ini, kedua-duanya juga pernah bekerjasama dalam menubuhkan kerajaan campuran di Kelantan pada 1 Januari 1973 dan seterusnya apabila Barisan Nasional dibentuk pada 1974, Pas bersama-sama UMNO berganding bahu membina negara. Pastinya negara akan terus mengingati kepimpinan dua negarawan Tun Razak dan Datuk Asri Muda dalam merintis usaha mulia ini. Mengikut rekod, faktor utama yang membawa kepada perpaduan UMNO dan Pas ketika itu adalah keputusan PRU 1969, Peristiwa 13 Mei dan kerjasama Perikatan dengan parti-parti lain sehingga mewujudkan Barisan Nasional (BN).
Walaupun kemudiannya Pas berpisah daripada BN dan kerajaan, usahlah dikenang lagi luka dan dendam episod itu. Ambillah iktibar daripada apa yang telah berlaku dan jangan mengulanginya lagi. Tetapi apa yang pasti, kerjasama UMNO-Pas pada 1974 berjaya mewujudkan suasana politik yang stabil, kukuh dan berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dengan pelbagai dasar pembangunan untuk semua.
Pengalaman daripada kerjasama 1974 itu membuktikan bahawa penyatuan dua parti terbesar ini tidak bersifat rasis sebaliknya berjaya mengukuhkan kembali negara yang retak akibat Peristiwa 13 Mei. Bahkan penyatuan tersebut langsung tidak mendiskriminasi kaum dan agama lain di Malaysia. Inilah konsep dan formula sebenar politik, bahawa perpaduan kaum dan agama teras mesti kukuh dahulu, kemudiannya baharulah akan mewujudkan jaminan kestabilan politik dan ekonomi yang makmur untuk semua. Pendekatan ini sama sekali tidak bersifat rasis dan perkauman malah jauh lebih baik berbanding konsep kerjasama politik sama rata yang rapuh seperti hari ini.
UMNO dan Pas serta parti-parti lain akan terus mengorak ke hadapan bagi melakar sejarah dan masa depan baharu untuk Malaysia. Negara tidak boleh lagi berada dalam keadaan ketidaktentuan tanpa hala tuju dan dasar yang jelas seperti sekarang. Penyatuan ummah yang bersifat nasional akan menjadi titik tolak kepada keazaman untuk melihat Malaysia yang kembali stabil dan makmur.
Bak makna peribahasa Melayu apabila si penghasut telah disingkirkan maka dua pihak berselisih pun berbaik semula; biduk lalu, maka kiambang pun bertaut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!