KTMB bakal perkenal koc kelas perniagaan ETS2

x-default
x-default
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan perkhidmatan koc ‘Business Class’ (kelas perniagaan) bagi perkhidmatan tren elektrik terbaharunya ETS2, bulan hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata koc kelas perniagaan eksklusif itu, satu daripada enam gerabak ETS2 direka khas, sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu, selain dilengkapi kemudahan kondusif seiring jenama kelas perniagaan tersebut.

“Ini termasuk tempat duduk luas dan selesa berbanding koc biasa, serta perkhidmatan pramugara dan pramugari khusus bagi koc kelas perniagaan. Penumpang dalam gerabak itu turut akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Okt itu akan dijual mulai 8.30 pagi, 12 Sept ini.

Katanya, perkhidmatan tren elektrik (ETS) amat popular dalam kalangan penumpang KTMB dan sepanjang tahun lepas, sejumlah 3.91 juta orang telah menggunakan perkhidmatan kereta api itu.

“Sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 2.15 juta orang telah menaiki ETS, purata 10,400 penumpang sehari. Penambahan set-set tren ETS2 itu sejajar dengan hasrat kerajaan meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam berasaskan rel.

"Dua perkhidmatan tren terbaharu itu menjadikan keseluruhan 38 perkhidmatan ETS beroperasi setiap hari. Ia sebahagian daripada sembilan set tren ETS2 yang bakal diterima peneraju perkhidmatan rel nasional itu secara berperingkat sehingga suku pertama tahun depan," katanya.

Bersempena dengan pengenalan koc baharu itu, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Ipoh, Perak, manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral-Padang Besar, Perlis dan promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Okt sehingga 30 Nov 2019.

Artikel Berkaitan:

Sementara warga emas, pesara kerajaan dan isteri, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun pula layak menerima diskaun konsesi, manakala kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung ETS2 di laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter) atau menerusi Pusat Panggilan 24 jam KTMB di talian 03-22661200.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!