Kastam rampas rokok seludup guna laluan udara RM6.82 juta

Zulkurnain (empat dari kiri) menunjukkan antara rampasan rokok yang dibuat pihaknya dalam lima operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA sejak Ogos lalu.
Zulkurnain (empat dari kiri) menunjukkan antara rampasan rokok yang dibuat pihaknya dalam lima operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA sejak Ogos lalu.
A
A
A

SEPANG - Taktik menyeludup rokok putih bernilai lebih RM6.82 juta melalui penerbangan pesawat komersial terbongkar dalam lima serbuan berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Ogos lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, serbuan pertama pada 6 Ogos lalu telah menyita 147,000 karton rokok putih dengan nilai termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM2.26 juta.

Menurutnya, pada operasi kedua 14 Ogos lalu pula sebanyak 65,000 karton rokok dengan nilai anggaran RM1 juta disita.

"Susulan itu sebanyak 65,000 karton dengan rampasan dianggarkan RM972,000 dibuat pada 3 September lalu.

"Manakala kes terbaru iaitu semalam rampasan bagi kes keempat membabitkan 65,000 karton bernilai RM1 juta. Pada hari yang sama juga kita membongkar penemuan 100,000 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM1.59 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam KLIA di sini hari ini.

Antara rampasan rokok yang dibuat kastam dalam lima operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA sejak Ogos lalu.
Antara rampasan rokok yang dibuat kastam dalam lima operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA sejak Ogos lalu.

Zulkurnain berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi sindiket yang sama berikutan modus operandi hampir serupa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan mendapati pengimport dan alamat bagi kesemua kes terbabit adalah tidak wujud selain mengisytihar barangan tersebut sebagai barangan lain.

"Kesemua rokok tanpa cukai ini diseludup masuk menggunakan pesawat komersial dari negara Singapura dan Laos," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Antara rampasan rokok yang dibuat kastam dalam lima operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA sejak Ogos lalu.
Antara rampasan rokok yang dibuat kastam dalam lima operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), KLIA sejak Ogos lalu.

Zulkurnain berkata, kegiatan menyeludup dengan menggunakan laluan udara mula dikesan dalam tempoh dua bulan susulan operasi ketat oleh Pasukan Khas Rokok Minuman Keras (RMK) di Pelabuhan Klang bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

"Selepas operasi pasukan khas ini dipergiat secara menyeluruh di Pelabuhan Klang, kita kesan sindiket mula mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan laluan udara," katanya.

Justeru, kastam menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau pejabat kastam terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!