Menara KL, Menara Berkembar Petronas 'ditelan' jerebu
KUALA LUMPUR - Beberapa mercu tanda di ibu negara 'hilang' daripada pemandangan mata pada tengah hari ini ekoran kualiti udara rendah akibat fenomena jerebu.
Tinjauan permandangan dari Wisma Bernama mendapati dua struktur tertinggi negara, Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas yang masing-masing terletak kira-kira 3 kilometer (km) dan 6 km dari sini, sukar dilihat dengan mata kasar.
Pemerhatian turut mendapati kualiti dan jarak penglihatan pada sebelah tengah hari lebih terhad berbanding pada pagi tadi akibat jerebu yang semakin menebal.
Tinjauan turut mendapati orang awam mula menggunakan topeng muka ketika berada di luar premis.
Kedai-kedai runcit dan kedai serbaneka di ibu negara juga mula meletakkan topeng muka itu di kaunter untuk memudahkan pengguna mendapatkan alat pelindungan pernafasan itu.
Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan di Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Batu Muda (136) dan Cheras (139), manakala Putrajaya pada bacaan 153.Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Sementara itu, di Selangor, enam kawasan menunjukkan udara di tahap tidak sihat pada pukul 7 pagi tadi.
Menurut laman web JAS, bacaan IPU di Shah Alam adalah 133, Klang berbandang 121 pada Selasa, Banting (120), Johan Setia, Klang (158), Petaling Jaya (135) dan Kuala Selangor (106).
Di Perak, Seri Manjung di Lumut merupakan kawasan pertama di negeri itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat setakat pukul 10 pagi ini.
Menurut laman web JAS, bacaan IPU di Seri Manjung adalah 123.
Di Negeri Sembilan, Nilai, Seremban dan Port Dickson yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak semalam terus merekodkan peningkatan bacaan IPU hari ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU setakat pukul 10 pagi ini di Nilai merekodkan IPU 155 berbanding 152 pada Selasa, Seremban 129 (121 pada Selasa) manakala Port Dickson 113 (105 pada Selasa).
Di Sarawak, setakat pukul 8 pagi tadi, hanya tiga kawasan di negeri ini mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan di bawah 200 iaitu Sri Aman (170), Kuching (156) dan Samarahan (140).
Sepuluh kawasan lagi merekodkan bacaan IPU sederhana dengan Sibu (80), S.K Baram (73), Mukah (78), Miri (74), Bintulu (85), Samalaju (78), Kapit (67), Limbang (55), Sarikei (75) dan ILP Miri (74).
Semua sekolah yang ditutup di sembilan daerah di Sarawak ekoran jerebu semalam dibuka semula seperti biasa hari ini.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!