'Berhemah guna media sosial'
KUALA LUMPUR - Pengguna media sosial digesa untuk lebih berhemah dan tidak menyalahgunakan platform terbabit sehingga boleh menggugat keharmonian negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, pada masa kini media sosial amat dominan dalam kehidupan masyarakat sehingga terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya dengan niat untuk memecah belah perpaduan kaum dalam negara.
"Saya seru agar kita semua menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.
"Sebarlah, kongsilah serta tularkan kisah-kisah positif yang boleh meningkatkan perpaduan negara supaya ia menjadi aspirasi dan ikutan masyarakat terutamanya golongan muda," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah My Hero 3.0 di Wisma Chamber di sini hari ini.
Menurutnya, pengamal media juga perlu memainkan peranan yang penting dalam menyebar luas mesej perpaduan.
Katanya, kerjasama serta penglibatan media pelbagai bahasa juga adalah amat penting dalam mendidik perpaduan.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Presiden Dewan Perniagaan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), Tan Sri Ter Leong Yap dan Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau, Chan Aun Kiang.
Pada majlis sama, lima individu daripada 13 peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir terpilih menerima anugerah My Hero 3.0 sementara selebihnya memperoleh sijil penghargaan.
Lima hero tersebut ialah Jameyah Sheriff, Md Herman Saidin, Richard Wong Yew King, Dr Norzah Ghani dan Cheah Kim Hock serta Rajendran A/L Velu yang masing-masing menerima hadiah RM5,000 serta trofi dan sijil penghargaan.
Dalam pada itu, Md Farid berkata, lima penerima Anugerah My Hero 3.0 ini turut dilantik menjadi Duta Perpaduan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
“Lantikan ini sekali gus memberi peluang kepada mereka berkongsi pengalaman dengan masyarakat melalui program-program jabatan agar memberi inspirasi dalam menjalin hubungan antara kaum.
"Mereka merupakan wira atau wirawati yang tidak didendang dan tidak pernah menerima pengiktirafan daripada mana-mana badan tetapi berkorban dengan ikhlas serta memberi sumbangan tanpa mengambil kira soal perbezaan kaum, agama dan budaya,” katanya.
Majlis berkenaan dianjurkan bersama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCI) dan Nanyang Siang Pau sejak 2014.
Sinar Harian, Utusan Borneo, See Hua Daily News, The Borneo Post, Orizon, The Sun dan Tamil Malar merupakan rakan media rasmi untuk anugerah Anugerah ‘MyHero 3.0’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!