UMNO-Pas tidak perlu saranan Tun M, kata Khaled
JOHOR BAHRU - UMNO tidak memerlukan saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kerjasama antara UMNO dan Pas.
Terkini pemimpin nombor satu negara ini didakwa meletakkan syarat bahawa UMNO dan Pas hanya boleh bekerjasama jika Pas meminta maaf kepada UMNO terlebih dahulu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya yakin UMNO dan Pas tidak memerlukan saranan itu khususnya dalam urusan dalaman mereka.
"Kedua, mengapa Dr Mahathir bersikap double standard?. Semasa Dr Mahathir dan DAP mahu bekerjasama, adakah syarat meminta maaf yang serupa telah beliau letakkan kepada mereka?.
"Atau adakah Dr Mahathir sendiri mengambil pendekatan berjiwa besar dengan meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan DAP secara umum atas segala gelaran cauvinis, rasis dan kata-kata buruk yang dilemparkan kepada mereka sebelum ini sebelum beliau kembali mendakap mereka?," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya sedar akan segala perselisihan antara UMNO dan PAS serta ingat akan segala-galanya.
"Sesungguhnya semua itu sangat kami malu dan kesalkan. Semua itu perkara silam dan telah kami tinggalkan di belakang. Kini kamu mahu menjadi lebih baik," katanya.
Justeru, beliau berharap perdana menteri tidak lagi akan mengeluarkan kenyataan dan saranan yang mengungkit-ungkit kesilapan lepas dengan hasrat melihat kami terus berpecah.
"Amat sedih jika perkara sebegitu masih terus menjadi pilihan bagi Dr Mahathir.
"Demi bangsa, agama dan negara ini, UMNO dan Pas akan terus bersatu. Kami telah lupakan segala persengketaan antara kami. Yang ada, hanya keyakinan dan iltizam untuk kami sama-sama membina masa depan yang lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!