Khabar angin tutup IPG cetus polemik, persepsi negatif

Jasni
Jasni
A
A
A

KUANTAN - Khabar angin dan dakwaan mengenai 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) disyorkan tutup tidak seharusnya timbul kerana boleh mencetuskan suasana tidak sihat dan polemik tidak berasas.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, pihak bertanggungjawab dan pengamal media perlu mendapatkan maklumat jelas mengenai kesahihan sebelum membuat laporan yang boleh menimbulkan salah faham.

Menurutnya, beliau turut memuji tindakan kerajaan yang mengambil ketetapan tidak melakukan penutupan IPG.

"Penutupan institut pendidikan guru bakal menjejas organisasi dengan kekurangan guru dalam tempoh terdekat. Jurang kemasukan dan pengeluaran guru yang tidak selaras akan memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang.

"Keadaan ini boleh merencatkan kecemerlangan pendidikan negara," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Jasni berkata, kebanyakan pensyarah di IPG adalah bekas guru yang sudah masak dan mahir dengan alam persekolahan dan mereka memahami jiwa serta keperluan ilmu keguruan terkini.

"Faktor ini akan melahirkan calon guru yang berwibawa.

"Pengalaman ini membolehkan mereka menyampaikan maklumat berkaitan dengan sekolah kepada bakal guru yang terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jasni berkata, adalah lebih baik semua IPG ditukar kepada cawangan dan menjadikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai induk.

"Langkah ini sebagai menjaga maruah warga pendidik pasca kemerdekaan dan mengekal semua pensyarah sebagai tenaga pengajar. Ini seperti dilakukan oleh Universiti Institut Teknologi Mara yang membuka cawangan kampus di seluruh negara.

"Masa ini secara kasar guru memang mencukupi, sebenarnya guru masih berkurangan terutama di bandar besar kerana nisbah guru dan murid serta kelas tidak selari," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!