Pemuda Umno gesa henti hina sejarah kemerdekaan negara
KUALA TERENGGANU – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menggesa seorang pengguna laman sosial yang menggunakan nama Vikarworld memadam gambar Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang disunting.
Menurutnya, tindakan itu adalah gurauan tidak bertempat dan penghinaan terhadap sejarah kemerdekaan negara.
“Tindakan pemilik akaun Facebook itu menyunting gambar Tunku Abdul Rahman sebanyak dua kali adalah keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan. Dia pernah memadam gambar disunting pada 31 Ogos lalu hingga mendatangkan kemarahan ramai.
“Kemudian, masih ada lagi gambar (Tunku Abdul Rahman) yang disunting berserta keterangan gambar. Itu penghinaan terhadap Bapa Kemerdekaan yang dilakukan Vikarworld,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Najmil Faiz menggesa individu terbabit memadam gambar tersebut selain menyeru pengguna media sosial lain untuk membuat laporan terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan.
“Vikarworld, anda ialah contoh tidak baik dan perosak kepada belia Malaysia. Jika mahu jadi terkenal bukan ini caranya.
“Saya harap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ambil tindakan terhadap pemilik akaun ini kerana dilihat cuba memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Najmil Faiz turut meminta individu terbabit supaya menghormati dan memahami erti sebenar kemerdekaan negara.
Terdahulu, pemilik akaun Vikarworld memuat naik gambar pada 31 Ogos 2017 berserta keterangan gambar: ‘So this is the original Merdeka pic that the government have been hiding from us. They removed me cause I was not wearing shoes. I was there and I can testify that this is real. Happy 60th Merdeka Malaysia!’
Gambar itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang kebanyakannya mempertikaikan tindakan tersebut sebelum ia dipadam oleh pemilik akaun yang sama susulan kritikan diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!