Zionis roboh dua lagi bangunan Palestin di Baitulmaqdis Timur
RAMALLAH - Israel hari ini merobohkan dua bangunan belum siap milik penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur.
Seperti biasa, rejim Zionis memberi alasan tindakan perobohan itu dilaksanakan kerana bangunan terletak di pekan Eizariya itu dibina tanpa permit.
Pemilik bangunan, Samer Abu Zayyad menganggarkan beliau kerugian kira-kira AS1 juta (RM4.17 juta) tidak termasuk nilai tanah.
Pada Julai lalu, Israel memulakan operasi besar-besaran perobohan penempatan penduduk Palestin di Kampung Sur Baher berhampiran tembok pemisah.
Operasi perobohan itu membabitkan kira-kira 16 bangunan kediaman yang mempunyai 100 unit pangsapuri.
Tentera Israel mendakwa rumah itu yang terletak berhampiran tembok pemisah antara kedua-dua wilayah dan menyilang sehingga Tebing Barat yang dijajah rejim sebagai ancaman keselamatan.
Penduduk Palestin pula mendakwa, langkah itu akan dijadikan pemula oleh Israel terhadap pekan-pekan lain yang terletak di sepanjang laluan sempadan sepanjang ratusan kilometer (km) mengelilingi dan melalui Tebing Barat yang dijajah rejim.
Mereka juga menegaskan bahawa tindakan tersebut secara tidak langsung memaksa penduduk Palestin di Tebing Barat ‘berpindah secara terpaksa ke tempat lain’ dan begitu juga di Baitulmuqaddis Timur. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!