Bersatu jangan ikut budaya Umno

Para perwakilan melaungkan 'Bersatu' semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini. - Foto Bernama
Para perwakilan melaungkan 'Bersatu' semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mewujudkan budaya baharu dalam memperjuangkan agenda Melayu dan bumiputera supaya parti itu tidak dikaitkan serta dianggap sebagai pewaris budaya Umno, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Besar Perak itu berkata, meskipun Bersatu memperjuangkan agenda asal Umno dalam memartabatkan orang Melayu dan bumiputera tanpa mengetepikan hak kaum lain, parti tersebut harus melaksanakan agenda berkenaan dengan sebenar-benarnya.

Katanya, ahli dan pemimpin Bersatu tidak seharusnya mengekalkan budaya mengaut keuntungan demi diri sendiri dan kelompok tertentu dengan menggunakan slogan Melayu dan bumiputera.

"Kita kena betulkan kembali budaya mengejar jawatan dan kontrak ini, sebaliknya kita kena benar-benar membantu rakyat yang mengharapkan kita.

"Kalau kita tidak betulkan budaya ini, kita tidak ubah seperti Umno yang ditolak rakyat kerana tidak jujur dalam memperjuangkan agenda Melayu dan bumiputera," katanya kepada Bernama ketika di luar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, di sini hari ini.

Ahmad Faizal bagaimanapun memberi jaminan usaha membantu orang Melayu dan bumiputera dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum tidak akan mengabaikan kaum lain yang memerlukan bantuan kerajaan.

Di Perak sendiri katanya, kerajaan negeri PH turut membantu golongan pekebun kecil daripada kaum Cina dan India termasuk mengenal pasti tanah untuk dibuka dan diberikan kepada golongan berkenaan yang bergantung hidup kepada hasil pertanian.

"Kalau kita bantu mereka dengan jujur, mereka tidak akan bimbang kalau kita meneruskan agenda pembangunan Melayu dan bumiputera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan dasar pada perhimpunan itu malam tadi menegaskan Bersatu bukan pewaris Umno, tetapi akan bertanggungjawab kepada orang Melayu dan bumiputera.

Pengerusi Bersatu itu berkata, parti berkenaan yang ditubuh untuk menyelamatkan orang Melayu dan bumiputera tidak akan berdiam diri dan membiarkan kehancuran mereka berterusan disebabkan kehilangan pemimpin dan haluan selepas tewasnya Umno. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!