Shafie peramah, banyak berjasa
SEPANG - Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh yang meninggal dunia hari ini, digambarkan sebagai seorang yang sangat disenangi, peramah dan banyak menabur jasa dalam membangunkan ekonomi Melayu dan Bumiputera.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekitar tahun 1970-an, Allahyarham telah membuat kajian terhadap struktur dan permasalahan sosio ekonomi peneroka Felda dan kajiannya telah dijadikan asas untuk rancangan mempertingkat taraf hidup peneroka Felda.
"Kajian ini merupakan empirical yang masih digunakan sebagai asas untuk sebarang kajian mengenai peneroka dan sosial ekonomi masyarakat Felda," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Makmur, Kampung Giching Salak Tinggi di sini hari ini.
Shafie, 73, yang juga Ketua Pengakap Negara meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 9.30 pagi hari ini akibat komplikasi dalam perut.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Makmur dan dikebumikan pada kira-kira 3 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Giching.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata Allahyarham banyak membawa perubahan yang positif kepada Persatuan Pengakap Negara.
"Jasa beliau yang paling besar ialah memindahkan Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) dari Geneva ke Brickfields, Kuala Lumpur.
"Allahyarham juga sentiasa menekankan kepentingan untuk meremajakan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bagi menarik lebih ramai generasi muda menyertai PPM," katanya.
Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan Shafie seorang yang cukup berhemah dan bersopan santun.
"Beliau menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang pertama pada 2004 dan kemudiannya saya mengambil alih jawatan itu dari beliau pada 2006. Banyak yang saya belajar dari beliau," kata Mustapa.
Shafie meninggalkan isteri, Puan Sri Prof Emeritus Mizan Adilah Ibrahim dan tiga orang anak.Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Pusat Penyelidikan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Manusia; dan Setiausaha Penyelidikan di bahagian Analisis Dasar Pusat Kajian Pembangunan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!