75 peratus setuju kerajaan tutup media sosial semasa krisis
SHAH ALAM - Sebanyak 75 peratus warga Malaysia didapati bersetuju dengan penutupan media sosial semasa krisis atau serangan pengganas.
Berdasarkan kaji selidik global yang dilakukan oleh Ipsos, rakyat di negara ini menyokong penutupan media sosial untuk membanteras penyebaran berita palsu.
Malaysia menduduki tempat ketiga di dunia, yang mempercayai Kerajaan untuk menutup platform media sosial demi membanteras aliran berita palsu semasa krisis.
Sementara penerimaan penutupan sementara platform media sosial untuk mengekang aliran berita palsu semasa krisis, Malaysia berada di kedudukan kedua.
Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon berkata, dalam tempoh sedekad yang lalu, terdapat perubahan radikal dalam landskap media berita yang mana seseorang tidak lagi menunggu surat khabar atau televisyen untuk mendapatkan berita terkini.
"Ini kerana media sosial kini menjadi sumber berita untuk penduduk dunia di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
"WhatsApp, WeChat, Facebook, Twitter, YouTube, Instagram, blog, aplikasi berita dan platform media sosial lain pula menggantikan media tradisional yang menyalurkan maklumat secara berterusan, terkini malah menarik perhatian.
"Bagaimanapun berita terkini boleh dilupakan dalam sekelip mata kerana manusia mempunyai jangka perhatian terhad kecuali berita itu disebar dan dikongsi," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut Arun, selepas peristiwa serangan maut pengganas di Sri Lanka semasa Easter Sunday pada April lalu, pentadbiran negara itu telah menutup semua platform media sosial sementara waktu dalam usaha untuk menghentikan penyebaran maklumat palsu dan mengurangkan ketegangan keadaan.
"Bulan lalu, kerajaan India telah menghentikan perkhidmatan internet di Kashmir selepas membatalkan Perkara 370 di negeri itu," ujar beliau.
Dalam pada itu, kajian tersebut turut menyimpulkan lebih separuh daripada warga Malaysia iaitu 54 peratus bersetuju bahawa pengguna mampu mengenal pasti fakta atau penipuan.
"Kajian ini juga mendedahkan tahap pendidikan muncul sebagai faktor penting dalam kepercayaan terhadap media sosial.
"Negara yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi paling tidak mungkin menganggap media sosial sebagai sumber berita dan maklumat paling tepat.
"Oleh itu, warga global dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi tidak begitu menyokong penutupan media sosial," katanya.
Bagaimanapun, sebanyak 71 peratus responden merasakan penutupan sementara media sosial oleh kerajaan bukanlah langkah yang berkesan.
"Hampir dua pertiga warga Malaysia iaitu 69 peratus berpendapat penutupan media sosial tiada gunanya kerana terdapat banyak cara untuk memintas penutupan itu.
"Antara negara yang lebih bersetuju dengan pandangan itu ialah Turki sebanyak 81 peratus, Poland (80 peratus ), Argentina (78 peratus ), Peru (78 peratus ) dan Rusia (78 peratus ).
Arun menjelaskan, dunia kini sangat bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan berita dan maklumat.
"Media sosial memainkan peranan yang besar dalam peningkatan berita palsu dan penyebaran khabar angin.
"Kekurangan kebertanggungjawaban dan ketiadaan langkah berkesan oleh syarikat media sosial untuk mengenal pasti kandungan palsu akan meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap campur tangan kerajaan untuk menetapkan peraturan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!