Kerjasama Pas-UMNO beri impak hanya kepada pengundi Melayu, Islam?
SHAH ALAM - Pas dan UMNO bakal memeterai piagam perpaduan ummah dan menandatangani memorandum persefahaman di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu ini.
Majlis menandatangani piagam itu berlangsung pada hari kedua dalam program Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang dijadualkan bermula sehari sebelum itu di lokasi yang sama.
Pas dan UMNO masing-masing parti Islam dan Melayu terbesar merancang HPU914 bagi menggembleng kekuatan Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, kerjasama Pas dan UMNO memberikan impak baik kepada kedua-dua parti dalam usaha menarik lebih banyak undi dalam kalangan pengundi Melayu dan Islam.
Namun katanya, pakatan dua parti itu diperhatikan akan merenjatkan usaha perpaduan Melayu secara keseluruhannya disebabkan agenda perjuangan gabungan itu masih kabur dan kurang diyakini sebilangan pengundi Melayu lain.
"Bagaimana bentuk haluan mereka, matlamat mereka dan roh perjuangan mereka yang sememangnya berbeza sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Penganalisis politik itu berkata, keadaan itu juga dilihat akan turut meresahkan ahli kedua dua parti terutamanya pada peringkat awal gabungan pakatan dua parti terbesar Melayu Islam itu.
"Dalam masa sama, program dua parti ini juga dikhuatiri akan membentuk politik satu kaum yang membelakangkan parti parti bukan Melayu.
"Hal ini jelas akan mengakibatkan satu renjatan kepada iklim politik negara berteraskan semangat perpaduan masyarakat majmuk," katanya.
Katanya, bagi sesetengah pengundi Melayu dan Islam pula mereka akan berfikiran bahawa pakatan politik seumpama ini akan melambatkan proses perpaduan umat Melayu secara keseluruhannya disebabkan kerjasama itu disifatkan bersifat jumud dan berteraskan perjuangan politik Melayu dan Islam semata-mata.
"Sedangkan cabaran yang jauh lebih besar ialah untuk memperkasakan umat Melayu dan Islam di negara ini ke arah perpaduan yang boleh mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi, pembangunan sosialisasi dan sebagainya," katanya.
Katanya, semangat perpaduan nasional berteraskan masyarakat majmuk sedikit tercalar sekiranya pakatan ini nanti tidak memberikan implikasi besar terhadap masa depan pengundi-pengundi Melayu apalagi pengundi-pengundi 'atas pagar' yang mempunyai harapan untuk melihat iklim politik dan pembangunan masyarakat yang positif di negara ini.
Sementara itu, dalam masa sama jentera Pakatan Harapan (PH) turut didakwa agak agresif menggambarkan kerjasama Pas dan UMNO dalam pelbagai 'rupa' termasuk sebagai tindakan rasisme dan ekstremisme.
Gambaran cuba ditonjolkan ini sudah pasti menimbulkan pelbagai reaksi ketika barisan pembangkang juga dilihat lebih memilih isu-isu yang dikira mudah merangsang sokongan kelompok tertentu.
Antaranya, dicipta slogan dan diratib wirid, seumpama 'Melayu terabai, Islam terancam' atau yang lebih popular 'agenda DAP dominasi kerajaan PH'.
Ini sekali gus bakal menimbulkan persoalan mampukah gabungan parti Islam dan Melayu terbesar ini diterima pengundi terutama bukan Melayu dan Islam termasuk golongan liberal.
Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, hal itu harus dilihat bahawa tanpa pemetaan bentuk perjuangan yang jelas akibat penggabungan kedua-dua parti ini, akan memberi senario persepsi negatif dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang merupakan rakan pembangunan negara kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!