JSPT sasar RM5 juta kutipan bayaran saman

Razak (kanan) pada sidang media.
Razak (kanan) pada sidang media.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menyasarkan sejumlah RM5 juta kutipan saman diperoleh sehingga hari ini menerusi pembukaan kaunter semakan dan bayaran diskaun saman 50 peratus sejak program itu dilaksanakan Julai lepas.

Ketua JSPT, Superintendan Razak Md Said berkata, sehingga semalam, sejumlah RM4.8 juta kutipan saman telah diperoleh.

"Sejak program ini dilaksanakan, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai berikutan tawaran 50 peratus yang disediakan.

"Ada kes yang kita terima saman tertunggak daripada tahun 1999 dan 2000 lagi. Ada juga seorang pembayar saman ini menjelaskan samannya berjumlah RM10,000, semalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Bertemu Pelanggan peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Mydin Mall Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Pada program berkenaan, turut dibuka kaunter semakan saman dan bayaran diskaun sebanyak 50 peratus yang diadakan sejak semalam hingga jam 10 malam ini.

Razak berkata, kempen pemberian diskaun 50 peratus itu dijangka akan diteruskan di tiga lagi iaitu IPD iaitu Seri Alam, Kluang dan Muar sebelum ditamatkan di IPD Pontian pada bulan depan.

"Pada 26 dan 27 Januari nanti, kita adakan program di IPD Pontian dan buat masa ini ia adalah yang terakhir yang mana selepas itu kempen ini dihentikan sehingga satu tarikh yang ditetapkan kemudian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sepanjang dianjurkan program tersebut, IPD Johor Bahru Selatan paling kerap menganjurkannya.

"Kita mulakan program ini di IPD Segamat pada Julai lalu sebelum diteruskan ke IPD lain.

"Program ini bukan setakat membantu kerajaan membuat kutipan saman, tetapi dapat galakkan masyarakat untuk tampil jelaskan saman tertunggak mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!