Tunku Azizah tutup Twitter, netizen rayu aktif semula
SHAH ALAM - Netizen melahirkan rasa sedih dan kecewa apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menutup akaun Twitter Iskandar@cheminahsayang kelmarin.
Rata-rata netizen memohon ampun perkenan baginda supaya kembali aktif dalam laman sosial Twitter.
Difahamkan, baginda menutup akaun Twitternya berikutan komen negatif dari seorang pemilik akaun Yok@frdsasrf yang dikatakan mengeluarkan kenyataan kurang sopan pada ruangan komen akaun baginda.
Berikutan itu, netizen yang aktif dalam akaun Twitter baginda marah dan mengutuk Yok@frdsasrf kerana disebabkan komen negatifnya, rakyat terputus komunikasi dengan raja kesayangan.
Seorang netizen, Hazim Husaini memberi komen, dia suka membaca status Tunku Permaisuri Agong dan berharap baginda kembali aktif.
“Aku suka tengok twitter sebab 'everytime' aku buka, mesti ada 'post' daripada Raja Permaisuri Agong @cheminahsayang. Saya suka baca apa yang baginda kongsi setiap hari, ia beri keceriaan dalam hidup saya. Tolong kembali semula wahai Permaisuri Agong kami (I love to see Her updates every day, it cheers up my day. Our Queen, please come back),” katanya.
Bagi @lisazulkhaidah pula melahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan.
“@cheminahsayang ampun tuanku tetapi bolehkan tuanku kembali semula. Saya rindu tuanku di Twitter (but can you please comeback, I miss our Permaisuri Agong, our bonda in twitter),” katanya berserta emoji hati.
Sementara itu, ada juga netizen menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang mengeluarkan kenyataan kurang sopan terhadap Tunku Azizah.
Menurut Jess@jezlai, tindakan itu perlu berikutan individu terbabit melakukan buli siber terhadap Permaisuri Agong.
Bagi Haruto@BlankyHuman, beliau tidak mahu mendengar Yok@frdsasrf meminta maaf kerana perbuatannya tidak padan dengan sekadar berbuat demikian.
“Bro (Yok@frdsasrf), lepas ni jangan minta maaf. (Kami) tak nak maaf kau tu. Tak padan dengan sekadar minta maaf je. Takyah minta maaf bro. Melayu macam kau la yang menjatuhkan institusi raja kita sendiri. Elok buang negara je, macam sultan-sultan dulu buat,” katanya dengan nada marah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!