Mikroplastik dalam perut ikan
BANGKOK - Penemuan puluhan mikroplastik dalam perut ikan makerel yang ditangkap di luar pantai wilayah Trang di Thailand mencetuskan kebimbangan banyak pihak.
Pusat Operasi 3rd Marine National Park bagaimanapun menggesa orang ramai supaya tidak panik sebaliknya menyertai kempen kesedaran tentang cara untuk menangani krisis timbunan sampah di laut.
Perkara itu turut menjadi topik perbincangan hangat di media sosial susulan penemuan mengejutkan itu.
Pembantu penyelidik, Saowalak Khaosaeng, 30, berkata, kajian asal adalah tentang kutipan sisa untuk mengasingkan jenis dan berat bagi memantau kuantiti sampah-sarap di laut.
Kumpulan penyelidik itu turut mendapatkan 60 ikan makerel yang ditangkap nelayan dan melakukan ujian makmal selepas menyedari sisa sampah mungkin memberi impak terhadap rantaian makanan di perairan pantai Hat Chao Mai.
Mereka mendapati setiap perut ikan tersebut mengandungi kira-kira 78 keping mikroplastik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar masing-masing berukuran 1 milimeter (mm) hingga 5 mm.
"Ikan terbabit mungkin menyangka kepingan kecil plastik itu adalah makanan mereka," ujarnya.
Difahamkan, kajian itu bagaimanapun tidak meliputi impak fizikal terhadap ikan atau asal mikroplastik terbabit.
Namun, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awal tentang keadaan semasa ekosistem dan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kaedah pelupusan sampah yang sesuai. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!