Dewan kecoh isu bendera terbalik
ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri Johor kecoh seketika pagi tadi apabila beberapa wakil rakyat bangkit membantah kenyataan yang dibuat Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Ramakrishnan Suppiah berhubung isu bendera terbalik.
Beliau yang menjawab soalan tambahan daripada Nor Rashidah Ramli (Parit Raja-BN) memaklumkan Dewan bahawa tiada kes bendera terbalik berlaku di negeri ini.
"Terima kasih Yang Berhormat. Di negeri Johor, kita tidak ada apa-apa insiden di mana bendera dipasang terbalik," katanya.
Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat BN bangkit menyatakan bantahan termasuk Ayub Jamil (Rengit-BN) dan Hahasrin Hashim (Panti-BN).
"Yang Berhormat, saya nak betulkan...di negeri Johor berlaku (pasang bendera terbalik)," kata Ayub.
Keadaan terus menjadi kecoh seketika namun berjaya ditenangkan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.
Ramakrishnan kemudiannya memberitahu kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina panji negara.
"Kerajaan negeri akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba pasang bendera terbalik.
"Kita tak akan kompromi dalam hal ini, kami akan ambil tindakan tegas," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bendera terbalik: Boleh dikenakan tindakan undang-undang, dipenjara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!