Sifar plastik, polistirena di Wilayah Persekutuan pada 2020
Khalid (tiga,kiri) merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
Katanya pelaksanaan cadangan penggunaan produk biodegradasi dan boleh dikompos di peringkat kebangsaan itu dipersetujui jemaah menteri dan pihaknya menjadi perintis dalam usaha itu.
"Bahan-bahan polistirena, beg plastik konvensional dan straw plastik menghasilkan bahan kimia yang boleh mengancam kesihatan manusia dan banyak dikaitkan dengan pencemaran alam sekitar.
"Oleh itu, kempen mendidik masyarakat, peniaga dan agensi berkaitan terhadap penggunaan bahan biodegradasi giat dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Teknologi Hijau Wilayah Persekutuan sebelum ia diwajibkan pada 2020," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di sini, hari ini.
Seminar yang disertai kira-kira 300 peserta itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dan pemain industri mengenai penggunaan produk biodegrasi dalam usaha menjadikan landskap bandar raya bebas plastik dan alam sekitar yang bersih.
Sementara itu, Khalid berkata tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat pengilang yang didapati menyalahgunakan logo Kementerian Wilayah untuk dicetak pada produk plastik bukan biodegradasi.
Katanya ia berikutan aduan yang diterima bahawa terdapat syarikat pengilang dan pengedar yang telah berbuat demikian untuk membekalkan plastik-plastik yang tidak diiktiraf kepada premis-premis perniagaan di sekitar ibu kota.
"Sejak 1 September 2017, produk-produk plastik biasa, plastik oxo dan plastik 'photo-biodegradable' adalah tidak dibenarkan sama sekali dan hanya plastik jenis biodegradasi sahaja yang diiktiraf pensijilan Sirim boleh digunakan.
"Kami memandang serius akan perkara ini dengan menjalankan pemeriksaan di syarikat-syarikat pengilang dari semasa ke semasa dan tindakan akan dikenakan jika didapati menggunakan logo kementerian dan pensijilan Sirim ke atas plastik yang tidak dibenarkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!