'Ibarat tutup bangkai gajah dengan kopiah'

Husam - Foto ZAHID IZZANI
Husam - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

PASIR MAS - Tindakan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan parti itu tidak pernah melabelkan UMNO sebagai kafir diumpamakan seperti 'menutup bangkai gajah menggunakan kopiah'.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mungkin lupa amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah memecahbelahkan masyarakat.

"Rakyat sudah tahu perkara itu (Amanat Haji Hadi) dan sudah ramai yang bercerai berai kerana isu berkenaan.

"Usahkan perkara ini, ucapan yang dibuat dengan menghentam teruk UMNO satu ketika dahulu pun dia sudah lupa," katanya selepas diminta mengulas kenyataan Mohd Amar yang menafikan dakwaan pimpinan parti itu tidak pernah melabelkan UMNO sebagai kafir sebagaimana dakwaan yang dibuat oleh pihak tertentu.

Terdahulu, Husam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) merasmikan Sambutan Maal Hijrah agensi berkenaan.

Husam berkata, pernah berlaku satu ketika dahulu seorang imam di Terengganu yang hampir mengangkat takbir, diusung keluar gara-gara orang UMNO.

"Kemudian, imam daripada sebuah parti telah menggantikan individu tersebut bagi menunaikan solat berjemaah. Bukan itu sahaja, pengasingan kenduri kahwin dan tanah perkuburan juga berlaku di Terengganu satu masa dahulu," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, Pas dan UMNO tidak perlu bermaafan disebabkan isu tuduhan kafir yang sudah lama dan sengaja dihangatkan kembali.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dr Mahathir yang perlu minta maaf dengan Anwar'

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!