Rasuah Hakim Syarie: Polis jalankan siasatan dalaman dua anggotanya
IPOH - Polis Perak akan menjalankan siasatan dalaman berhubung penglibatan dua anggotanya dalam kes rasuah melibatkan seorang Hakim Syarie semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan itu akan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri sebaik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai dijalankan.
"Siasatan kes ini dijalankan SPRM dan (anggota) masih dalam reman SPRM. Kita akan tunggu hingga siasatan mereka habis.
"Di pihak polis, kita juga akan membuat siasatan dalaman ke atas anggota ini yang akan diambil oleh JIPS," katanya.
Semalam, seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh berusia 37 tahun ditahan SPRM kerana disyaki menerima suapan RM4,000 untuk melepaskan kes khalwat membabitkan seorang inspektor yang dalam perbicaraan.
Seorang lans koperal berusia 30 tahun yang disyaki bersubahat dalam perbuatan itu turut ditahan dan kedua-duanya direman selama lima hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya yakin tangkapan ke atas anggota itu dibuat berdasarkan keterangan munasabah.
"Bagi saya, pastilah ada keterangan yang munasabah barulah tangkapan dibuat atas siasatan yang perlu bagi kes berkenaan," katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri antara Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham dengan Asisten Komisioner G S Suresh Kumar.
Mohamad Laham, 60, akan bersara wajib pada 14 September ini dan jawatan itu diambil alih timbalannya, Suresh Kumar yang menerima kenaikan pangkat dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Pada majlis sama, Pegawai Turus Pentadbiran Jabatan Pengurusan Kontinjen Perak, Superintendan Noraziah Zakaria turut menerima pemakaian pangkat Asisten Komisioner dan menggalas tugas baharu sebagai Penolong Pengarah Latihan (Urus Tadbir/Latihan) Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan Ibu pejabat Polis Bukit Aman.
ARTIKEL BERKAITAN: Hakim direman bantu siasatan rasuah kes khalwat polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!