Harga rumah Johor turun hingga 30 peratus
ISKANDAR PUTERI - Rakyat Johor kini mempunyai peluang lebih luas untuk memiliki hartanah sendiri dengan penurunan harga sehingga 30 peratus.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, ramai pemaju perumahan mengambil langkah tersebut sejak bulan ini.
"Inilah masanya rakyat Johor mendapat peluang membeli hartanah kediaman yang lebih berkualiti di lokasi strategik pada harga lebih rendah.
"Pada September kita lihat pemaju perumahan mula menurunkan harga 25 peratus hingga 30 peratus," katanya ketika ditanya Cheo Yee How (Perling-PH) mengenai usaha kerajaan negeri mengatasi isu rumah tidak terjual pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga menimbangkan untuk memperkenalkan kempen insentif hartanah tidak terjual bagi hartanah berharga RM600,000 ke atas seunit, Oktober ini.
"Antara yang sedang dipertimbangkan termasuk memudahkan proses pelepasan lot bumiputera. Saya tidak menolak kemungkinan langkah ini akan di 'spin'dan dilihat sebagai usaha menggadaikan kepentingan Bumiputera.
"Insentif ini untuk tempoh 12 bulan berkempen sahaja. Ini bermakna ia bukan dasar untuk selama-lamanya dan hanya terpakai ke atas hartanah kediaman yang berharga lebihi RM600,000 iaitu majoriti hartanah tidak terjual," katanya.
Katanya, pelaksanaan projek pengangkutan yang menghubungkan Singapura dengan Johor akan membantu meningkatkan pelaburan dalam hartanah bernilai lebih RM1 juta.
"Kerajaan Johor berusaha memastikan projek Rentas Sempadan iaitu Projek RTS (Rapid Transit Sytem) antara Singapura dan Johor Bahru serta Projek HSR (High Speed Rail) antara KL-Singapura dapat diteruskan kerana kedua-duanya boleh meningkatkan kesalinghubungan antara Johor dengan Singapura.
"Usaha ini menjadi pemangkin untuk menarik minat warga Singapura atau warga negara lain membeli atau melabur dalam hartanah yang melebihi harga RM1 juta.
"Projek Laluan Keretapi Berkembar antara Gemas ke Johor Baharu yang sedang dalam pembinaan dan cadangan pembinaan Iskandar Malaysia BRT (Bus Rapid Transit) juga akan menjadi pemangkin meningkatkan permintaan ke atas hartanah kediaman khususnya di peringkat domestik," katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!