'Saya ingin mati ketika menulis al-Quran'
SEBUT sahaja nama Othman Taha, berapa ramai dalam kalangan kita yang mengenalinya?
Jawapannya ada pada diri sendiri, namun figura hebat itu sebenarnya begitu dekat dengan hati kita.
Ini kerana, kebanyakan kita membaca al-Quran hasil tulisan tangan warga emas kelahiran Syria itu.
Ya, setiap helaian dalam kalam ALLAH SWT sebenarnya bukan font komputer, tetapi ia ialah hasil tulisan tangan penulis kaligrafi al-khatat Othman, 85.
Beliau menulis Mushaf Madinah dan beberapa edisi mushaf lain yang dipakai kebanyakan umat Islam di dunia termasuk di Malaysia.
Hampir empat dekad menyalin dan menulis al-Quran, insan hebat itu memperlihatkan ketekunan dan keikhlasannya menulis al-Quran dengan kata-kata yang bernilai: "Saya tidak peduli dengan dunia ini. Apa yang saya pedulikan hanyalah menulis ayat-ayat ALLAH."
Katanya lagi dengan penuh kesungguhan: "Setelah menulis mushaf al-Quran lebih daripada 13 kali, saya ingin sekali untuk mati ketika saya menulis al-Quran."
Othman buat pertama kalinya menulis mushaf al-Quran pada tahun 1970. Ketika itu, beliau menulis untuk Kementerian Wakaf Syria.
Pada tahun 1988, kerajaan Arab Saudi menawarkan Othman untuk menulis Mushaf Madinah di Kompleks Percetakan al-Quran Raja Fahd di Madinah, Arab Saudi.
Kompleks berkenaan merupakan kilang percetakan terbesar di dunia dan mengeksportnya ke seluruh negara.
Dalam video yang tular baru-baru ini, kata Othman, beliau mengambil masa selama tiga tahun bagi menyiapkan sesebuah mushaf al-Quran.
"Menulisnya (al-Quran) amat menakjubkan. Saya tidak kisah dengan kepenatan (yang dialami). Kadangkala saya terus menulis hingga keletihan. Kadang-kadang ketika menulis, pena saya terjatuh ke lantai," ujar beliau ketika ditemu bual pengacara Arab terkemuka, Ahmad Al Sughairi menerusi satu rancangan yang tular sekitar bulan Mei lalu.
Sehingga kini, Othman telah menulis 12 versi tulisan al-Quran yang kesemuanya merupakan tulisan tangannya.
Ketika menulis al-Quran, beliau memiliki satu perasaan luar biasa.
Ujar lelaki berjiwa akhirat itu, hatinya berbekas tatkala menulis ayat-ayat yang menerangkan perihal syurga dan neraka.
"Apabila ayat al-Quran yang menerangkan mengenai syurga, saya cukup tenang dan tidak mahu surah itu berakhir.
"Namun, apabila tiba (ayat) mengenai neraka dan azab, tangan saya menggeletar. Saya berpeluh, (sedangkan) pada kebiasaannya tidak begitu atau mengalami perasaan sebegitu," ujar beliau.
Apapun, beliau amat berharap: "Semoga mereka (yang membaca al-Quran tulisan saya) akan mendoakan saya agar ALLAH dapat memberikan kesihatan pada pancaindera saya supaya dapat saya meneruskan pekerjaan ini," akhirnya.
Disiplin, penelitian tinggi
Sementara itu, penulis al-Quran Mushaf Malaysia, Abdul Baki Abu Bakar berkata, menulis al-Quran memerlukan disiplin dan penelitian yang tinggi supaya tidak berlaku kesilapan.
Tegas beliau, ia tidak sama seperti penulisan khat yang bertujuan untuk seni kerana ia lebih bebas.
"Jika tujuan untuk menulis mushaf, kedudukan titik, baris dan penggunaan Resm Uthmani serta tanda-tanda wakaf perlu tepat. Ayat al-Quran jika dilakukan sambil lewa, ia akan menyebabkan kesalahan pada bacaan.
"Sebab itu kita kena berhati-hati sebab kita menulis al-Quran untuk memberi manfaat kepada orang lain," katanya kepada Sinar Islam.
Menceritakan pengalamannya menulis mushaf pada tahun 1997, Abdul Baki menjelaskan, beliau dibantu dua rakan dalam menyiapkan tulisan al-Quran Mushaf Malaysia di Yayasan Restu selama dua tahun.
"Kami ada pasukan, namun kerja menulis ayat al-Quran dengan draf menggunakan dua batang pensel, saya seorang yang melakukannya daripada juzuk satu hingga 30 supaya rentak tulisan yang dihasilkan sama.
"Dua lagi rakan membantu menghitamkan tulisan dengan dakwat mengikut draf yang saya buat supaya tidak lari daripada bentuk asal. Itu kaedah yang kami lakukan sebelum ini untuk menyiapkan sebuah mushaf lengkap dalam tempoh yang tidak terlalu panjang," katanya sambil menjelaskan al-Quran Mushaf Malaysia dilancarkan pada tahun 2000.
Bagi pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz, menulis al-Quran termasuk daripada kebajikan yang pasti diberikan ganjaran pahala.
"Soal pahala itu kerja ALLAH. Orang yang memberi cadangan sahaja tanpa menulis sudah banyak pahalanya. Apatah lagi yang menulisnya, lebih-lebih lagi pahalanya amat besar kerana ia termasuk daripada kebaikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!