'Bulan’ berkibar megah bersama ‘Sang Saka Bangsa’ di PWTC
KUALA LUMPUR - Sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya bendera Pas berkibar sama aras dengan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ia menjelang acara bersejarah yang bakal menyaksikan UMNO-Pas memeterai piagam bersama sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang akan berlangsung hari ini dan esok.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, PWTC dengan acara kemuncaknya majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan Pas.
Menurutnya, lebih 30 parti politik berdaftar telah dijemput termasuk bawah Pakatan Harapan.
“Ini bukan himpunan untuk orang Melayu Islam. Tetapi juga akan dihadiri oleh pelbagai kaum dan agama.
“Kita telah sediakan tempat duduk untuk parti-parti lain yang mahu sertai bersama dalam mencapai matlamat nasional,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Ditanya adakah akan terbentuk satu parti baharu hasil piagam yang bakal dimeterai nanti, Annuar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya yakin presiden kedua-dua parti mempunyai rancangan besar. Tunggu ucapan pada hari kemuncak nanti,” katanya.
Sementara itu, pengisian HPU hari ini akan bermula dengan solat sunat Dhuha, zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat Pas.
Selepas solat Jumaat akan diadakan solat hajat dan kemudiannya disusuli Wacana Intelektual Penyatuan Ummah anjuran Penerangan UMNO selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda UMNO dan Pemuda Pas di Dataran PWTC.
Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC yang menampilkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Acara kemuncak berlangsung pada Sabtu akan menyaksikan piagam kerjasama UMNO dan Pas akan ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!