Usah cepat menghukum, berprasangka pada orang lain
AKHLAK mulia dan penampilan seseorang merupakan aset penting bagi setiap individu sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanpa kedua-duanya, seseorang itu akan dipandang rendah dan hina kerana manusia secara fitrahnya tidak suka seseorang yang buruk sikapnya dan jelek penampilannya.
Kepentingan akhlak yang ditekankan dalam Islam dapat dilihat dengan jelas melalui kaitannya dengan keimanan sepertimana sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya." (Riwayat al-Tirmidzi)
Bagi penampilan yang baik, baginda SAW amat menitikberatkan agar seseorang itu tidak menzahirkan identiti yang tidak kemas dan selekeh sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang sekeliling. Hal itu boleh dikaitkan dengan hadis yang mana Rasulullah SAW melarang seseorang memakai selipar sebelah kaki sahaja, bukan sepasang sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Menurut Imam Baijuri, hadis itu menunjukkan larangan Nabi Muhammad SAW terhadap seseorang yang menggayakan penampilan yang tidak senonoh dan di luar daripada adat setempat hingga menimbulkan salah sangka dan cercaan orang ramai.
Selain itu, Rasulullah SAW mengaitkan penampilan yang cantik merupakan sesuatu yang dicintai oleh ALLAH sepertimana seorang sahabat bertanya kepada baginda: "Adakah seseorang yang sukakan pakaian dan kasut yang cantik dikira sebagai sombong?" Lantas respons baginda SAW: "Sesungguhnya ALLAH Maha Cantik dan ALLAH sukakan kecantikan." (Riwayat al-Bukhari).
Hadis tersebut jelas menyatakan, jika seseorang itu sukakan kecantikan pada penampilan itu, ia perkara yang disukai oleh ALLAH, asalkan tiada rasa sombong dan bongkak.
Jaga hak ALLAH
Terdapat sebahagian umat Islam yang baik dari segi penampilannya dan mulia akhlaknya, tetapi dari sudut ketaatan ibadah pula tidak dititikberatkan dalam dirinya seperti tidak solat lima waktu.
Apa yang perlu setiap Muslim sedar bahawa hidup di dunia bukan hanya perlu menjaga kepentingan sesama manusia seperti menjaga akhlak dan penampilan. Namun hak-hak ALLAH SWT juga wajib dijaga kerana tujuan manusia dijadikan di muka bumi adalah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT sepertimana yang dinyatakan dalam Surah al-Dzariyat, ayat 56.
Begitu juga, ada antara mereka yang menjaga penampilannya dengan baik, namun tidak memenuhi kehendak syarak seperti mendedahkan aurat. Itu juga sesuatu yang tidak wajar diambil mudah oleh mana-mana Muslim kerana pakaian yang menutup aurat merupakan perintah ALLAH yang diwajibkan terhadap hamba-hamba-NYA. Bahkan pendedahan aurat bukan pada tempatnya boleh mengundang kerosakan sosial masyarakat seperti gejala seks bebas dan seumpamanya.
Tidak dinafikan terdapat segelintir orang yang tidak menjaga penampilannya dengan baik, tetapi dari sudut ketaatan ibadah seperti solat, puasa dan zakat tidak pernah diabaikan. Maka timbul satu soalan yang biasa didengari, adakah ibadah mereka diterima meskipun tidak menutup aurat?
Menurut ahli-ahli fiqh, perlakuan maksiat seseorang di luar perbuatan ibadah seperti solat, tiada kaitan dengan sah atau tidak sesuatu ibadah itu. Sah atau tidak hanya bergantung kepada syarat dan rukun sesuatu ibadah.
Namun dari segi sudut ibadah seseorang ahli maksiat diterima atau diganjari pahala oleh ALLAH atau tidak, ia tiada kaitan dengan perbuatan dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh seseorang. Insya-ALLAH ia tetap diterima asalkan ikhlas dan menepati cara ibadah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Akan tetapi, dia tidak terlepas daripada kesalahan tidak menutup aurat kerana melanggar perintah ALLAH SWT.Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa ada beberapa dosa besar yang menjadi penyebab ibadah seseorang itu tidak diterima oleh ALLAH.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang minum arak, solatnya tidak diterima selama 40 hari." (Riwayat Ibnu Majah).
Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH tidak menerima solat seseorang yang tanpa wuduk dan sedekah daripada harta yang haram." (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, tanggungjawab seseorang hamba ALLAH ialah kita perlu menjaga hak-hak diri iaitu penampilan yang baik. Begitu juga hak-hak insan sekeliling iaitu memupuk akhlak yang baik.
Apa yang paling penting juga adalah menjaga hak-hak ALLAH dengan mentaati segala perintah ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan-NYA. Inilah pedoman hidup yang perlu dipenuhi oleh setiap insan yang bergelar Muslim.
Kita tidak sepatutnya hanya menilai seseorang dan diri sendiri hanya pada penampilan, tetapi seluruh tanggungjawab yang melibatkan aspek duniawi dan ukhrawi.
***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed Bin-Agil merupakan pendakwah bebas dan penulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!