Guna saluran dalaman kalau nak kritik - Shamsul Iskandar
MELAKA - Pemimpin PKR pada semua peringkat dinasihatkan tidak menjadikan media sebagai saluran mengkritik parti sebaliknya menggunakan saluran sewajarnya untuk membangkitkan isu dalaman.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini bagi memastikan isu berbangkit diselesaikan secara baik menerusi musyawarah dan permuafakatan.
Bagaimanapun pada masa sama, beliau tidak menganggap perselisihan pendapat secara terbuka antara pemimpin PKR akan melemahkan parti.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ini berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program iRUN Hang Tuah Jaya Fun Run 2018 dan Program Kembali Ke Sekolah di Air Keroh di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat secara terbuka di antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, gandingan Anwar dan Mohamed Azmin adalah yang terbaik dan diyakini anggota akar umbi untuk menerajui parti.
Mohamed Azmin pada Jumaat lepas menggesa Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti yang pada pandangannya tidak mencerminkan kehendak anggota akar umbi.
Dalam kenyataan balasnya Anwar berkata, lantikan yang diumumkan itu bertujuan memastikan PKR bersifat inklusif sedangkan Mohamed Azmin tidak mahu orang-orang tertentu berada dalam barisan kepimpinan parti.
Anwar turut menasihati Mohamed Azmin agar menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan.
Terdahulu, pada majlis itu Shamsul Iskandar turut menyampaikan baucar antara RM100 dan RM250 kepada 1,000 pelajar kurang berkemampuan dari 10 buah sekolah dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!