Penyatuan UMNO-Pas: PWTC diselimuti rona putih

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, beramah mesra bersama ahli-ahli Wanita UMNO, Puteri UMNO, Dewan Muslimat Pas dan Ameerah Pas selepas sesi Tadabbur Surah As-Saff pada Himpunan Penyatuan Ummah UMNO PAS di PWTC hari ini. Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang begitu sinonim dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada lazimnya menyaksikan penampilan khalayak dengan rona merah dan biru tua ketika berlangsungnya program-program besar.

Namun berbeza hari ini, apabila identiti satu parti telah ‘diselimuti’ rona warna putih yang menghiasi setiap sudut menandakan kebersamaan semangat juang para penyokong bersempena acara bersejarah Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) berlangsung hari ini dan esok.

Suasana itu secara tidak langsung menzahirkan semangat kerjasama yang dimeterai apabila identiti dua parti bersatu sehingga agak sukar membezakan mana satu daripada UMNO atau Pas.

Putih menjadi lambang kesucian dan bersih, tidak keterlaluan jika dikatakan ia juga melambangkan satu bentuk penyatuan yang akan dicorakkan semula dengan lukisan yang lebih indah.

Program pada pagi Jumaat yang barakah itu telah dibuka dengan acara melibatkan Wanita UMNO dan Muslimat Pas yang mengadakan solat sunat Dhuha, hajat dan zikir munajat dengan diketuai oleh Ketua Muslimat Pas Pusat, Senator Nuridah Mohd Salleh.

Salah seorang peserta, Nur Ain Airil, 30, antara yang tidak ketinggalan menyokong gerakan penyatuan itu apabila sanggup menempah bilik hotel sejak awal lagi untuk bersama-sama dalam program dianjurkan.

Malah kehadiran si kecil, Aisyah Amar, 9 bulan sedikit pun tidak membataskan semangatnya.

“Saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah penyatuan ummah ini. Saya akan beri sokongan penuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tidak kurangnya semangat dua lagi peserta apabila bersama-sama menaiki Transit Aliran Massa (MRT) seawal jam 6.45 pagi dari Kajang ke PWTC.

Halimah Zaharah Yaacob, 54, pula berkata, dia bersyukur apabila penyatuan ummah dapat direalisasikan.

“Sudah sampai ketikanya kita antara dua parti Islam terbesar dapat bersama-sama demi meletakkan Islam di atas,” katanya.

Noraini Hashim, 60, yang telah 30 tahun bersama-sama Pas pula mengakui teruja dengan acara bersejarah tersebut.

“Ini apa yang kita semua nanti-nantikan. Jadi saya tidak mahu terlepas untuk terlibat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Merangkak pun saya sanggup datang'

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, Ketua Dewan Muslimat Pas dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan serta ahli-ahli Wanita UMNO, Puteri UMNO, Dewan Muslimat Pas dan Ameerah Pas bergambar bersama selepas sesi Tadabbur Surah As-Saff pada Himpunan Penyatuan Ummah UMNO Pas di PWTC hari ini. –Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!