Kumpulan terakhir jemaah haji selamat pulang
KUALA LUMPUR - Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 475 orang selamat pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 4.10 pagi tadi.
Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu, keseluruhan seramai 30,173 jemaah haji Malaysia selamat pulang, manakala 24 jemaah haji telah meninggal dunia di Tanah Suci dan tiga lagi jemaah haji Malaysia sedang mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi.
"Para jemaah tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah pada pada 1.58 petang waktu Arab Saudi, 12 September. Ketibaan kumpulan terakhir ini menandakan berakhirnya Operasi Haji TH bagi Musim 1440H/2019M," kata kenyataan itu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam kenyataan itu berkata, keseluruhan operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan rata-rata jemaah haji Malaysia dapat menyelesaikan ibadah haji mereka dengan sempurna.
"TH ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta agensi-agensi yang terlibat," katanya.
Menurut kenyataan itu, satu sesi post-mortem akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menilai semula semua sudut operasi dan mencari ruang penambahbaikan bagi musim haji akan datang.
"Surat tawaran untuk menunaikan haji bagi Musim Haji 1441H/2020M dijadualkan akan dikeluarkan bermula November ini secara berperingkat. TH menasihati para pendeposit untuk mengemas kini maklumat masing-masing dengan mengunjungi cawangan-cawangan TH berdekatan.
"Ini bagi mengelakkan surat tawaran haji tidak diterima kerana kesilapan alamat dan butiran peribadi yang tidak dikemaskini," kata kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!