Remaja maut, ibu parah SUV bertembung treler di LPT2
KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seorang remaja lelaki maut manakala ibunya parah dan bapa serta dua adiknya cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 294.7 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4 pagi, Darwish Haykal Mohd Rizalmi, 14, penumpang di belakang kenderaan itu maut di tempat kejadian manakala ibunya, Jaslina Abdullah, 40, penumpang hadapan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kemaman.
Bapanya, Mohd Rizalmi Md Romali, 40, yang memandu SUV berkenaan bersama dua lagi adiknya Harris Haydar, 9 dan Nur Aulia Hudaibiyah, dua tahun, yang juga penumpang belakang cedera di anggota badan dan patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati SUV jenis BMW X6 dipandu bapa mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.
"Semasa tiba di lokasi, SUV dipandu hilang kawalan sebelum terbabas lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler jenis Hino yang membawa muatan baja, dalam perjalanan dari Port Klang, Selangor ke Dungun.
"Akibat perlanggaran kuat itu, SUV dinaiki mangsa berpusing beberapa kali dan kesemua penumpang tercampak keluar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Hanyan berkata, pemandu treler berusia 51 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!