Mayat lelaki hilang dua dekad lalu dikesan melalui Google Maps
FLORIDA - Jasad seorang lelaki yang dikatakan menghilangkan diri sejak dua dekad lalu di Florida ditemukan di dalam sebuah kereta yang tenggelam menerusi foto satelit Google Maps.
William Moldt dilaporkan hilang dari Lantana, Florida, Amerika Syarikat 7 November 1997. Lelaki itu dilaporkan tidak pulang ke rumahnya setelah menghabiskan waktu di sebuah kelab malam.
Ketika itu, mangsa berusia 40 tahun. Usaha menjejak mangsa juga dijalankan pihak berkuasa namun menemui jalan buntu apabila lelaki malang itu gagal dikesan.
Pada 28 Ogos lalu, selepas 22 tahun William dikatakan hilang pihak polis menerima laporan mengenai sebuah kereta ditemukan di dalam sebuah tasik di Moon Bay Circle, Wellington.
Setelah kereta itu ditarik keluar dari tasik berkenaan, tulang ditemukan di dalamnya. Susulan itu, seminggu kemudian, rangka itu disahkan positif adalah jasad William.
"Kereta William yang tenggelam ditemui seorang lelaki yang juga merupakan penduduk di kawasan tersebut ketika 'melakukan pencarian Google'," kata polis.
Lelaki tempatan itu kemudiannya menghubungi salah seorang penduduk di Moon Bay Circle untuk memaklumkan apa yang dilihatnya di Google Maps selepas menggunakan pesawat drone peribadi.
Memetik laporan sebuah pusat data online, Charley Project mendakwa kereta itu dilihat melalui foto satelit Google Earth di lokasi tersebut sejak tahun 2007, namun hanya disedari penduduk pada tahun 2019.
Sheriff Palm Beach pula memaklumkan kepada BBC bahawa William dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam telaga sehingga menyebabkan nyawanya melayang.
"Anda tidak akan dapat memastikan apa yang terjadi sejak bertahun-tahun lalu, apa yang berlangsung (pada masa itu)," kata jurucakap polis Theresa Barbera.
"Yang kita ketahui bahwa ia dulu menghilang dari muka bumi dan kini ia telah ditemui," tambahnya yang turut memaklumkan keluarga William telah dimaklumkan tentang penemuan itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!