Kerjasama UMNO-Pas akan terburai, kata Rafizi
SHAH ALAM - Kerjasama antara UMNO dan Pas tidak akan bertahan lama meskipun diperkuat menerusi Himpunan Penyatuan Ummah (HPU).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, ini kerana mereka memecahbelahkan ummah dengan saling kafir-mengkafir selepas kegagalan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam itu pada tahun 1980-an.
“Seperti juga perkahwinan UMNO-Pas yang lepas, perkahwinan kali ini juga akan terburai. Hanya tunggu masa kerana mereka tidak tahu siapa yang suami dan siapa yang isteri dalam perkahwinan itu.
“Apabila strategi politik itu tidak menjadi dan mereka berbalah, mereka akan kembali kafir-mengkafir seperti dulu,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Menurut Rafizi, Pas pernah menyifatkan UMNO sebagai ‘kafir’ selepas kerjasama dengan parti itu tidak mampu bertahan lama.
“Hubungan marah dan cinta antara Pas dengan UMNO ini sudah lama. Semasa mereka bercerai selepas berkahwin kali pertama (tahun 1970-an), marahnya Pas kepada UMNO ini sehinggakan UMNO sudah lagi tidak Islam.
“Sekarang UMNO dan Pas dah selesai meminang, esok akan berkahwin di PWTC. Kita tidak tahu yang mana lelaki yang mana perempuan.
“Insya-ALLAH tok kadi kena semak jantina UMNO dan Pas dulu sebelum menikahkan mereka esok,” sindirnya.
Sejarah politik negara bakal tercipta esok apabila UMNO-Pas memeterai piagam bersama sempena HPU yang berlangsung hari ini dan esok.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bulan’ berkibar megah bersama ‘Sang Saka Bangsa’ di PWTC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!